Home

Selamat Datang Ke Laman NurSKBM -- Sesungguhnya saat yang paling dekat antara dirimu dengan ALLAH Subhanahu wa Ta'ala, iaitu apabila engkau sedang bersujud kepadaNya. Dan saat yang paling berbahagia adalah ketika engkau ikhlas kepadaNya. Saat yang paling lapang bagimu adalah ketika engkau berzikir kepadaNya. Dan saat dimana engkau paling berharap kepadaNya adalah ketika engkau berdo'a kepadaNya
( SKBM 100 TAHUN PADA 2010)

Saturday, August 22, 2009

Selamat Menyambut Bulan Ramadan


Selamat Menyambut Bulan Ramadan Al-Mubarak dan semoga Ramadan kali ini membawa seribu keberkatan dan kebahagiaan kepada seluruh umat Islam di bumi Malaysia.

Wednesday, August 12, 2009

10 soalan lazim tentang H1N1

10 soalan lazim tentang H1N1 - oleh Dr David KL Quek (Presiden MMA) - Ogos 2006
Diterjemahkan ke dalam BM oleh : Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin untuk http://www.drazwan.blogspot.com/

Artikel asal di dalam bahasa Inggeris di sini:-

1) Bolehkah kita membezakan di antara selsema biasa dengan selsema H1N1 tanpa melalui ujian makmal?

Tidak boleh. Selsema adalah selsema, tetapi terdapat juga perbezaan yang boleh diketahui. Sesetengah gejala seperti batuk, hidung berair, demam, sakit badan, penat, muntah dan cirit berlaku hampir kepada semua pesakit yang menghidap selsema, tetapi gejalanya mungkin boleh berbeza dari seorang-ke seseorang yang lain.

Ada sesetengah pesakit yang mempunyai gejala yang ringan, ada yang pertengahan dan ada sebilangan kecil, kurang dari 10 peratus menunjukkan gejala yang merbahaya termasuk jangkitan paru-paru pneumonia.

Walaubagaimanapun, kajian penting dan pemerhatian oleh Kementerian Kesihatan beberapa minggu lepas menunjukkan hampir 95% daripada semua Penyakit Menyerupai Influenza (PMI) atau Influenza Like Illness adalah disebabkan oleh virus H1N1. (wow! saya pun terkejut!!)

Awal beberapa bulan yang lalu, selsema bermusim adalah disebabkan oleh virus jenis B dan jenis A yang lain, tetapi kini virus yang menyebabkan penyakit ialah dari jenis A (H1N1). Perkara yang sama juga berlaku di negara jiran, yang membawa maksud bahawa virus baru ini membawa masalah dan menyebabkan penyakit bergejala daripada jenis virus-virus yang sebelum ini.

Disebabkan oleh Penyakit Menyerupai Influenza (PMI) ini disebabkan oleh H1N1, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan bahawa tidak perlu lagi ujian makmal diadakan untuk mengesahkan kehadiran H1N1 ini. (Dengar cerita bajet KKM dah makin sikit!)

Kita rawat seolah-olah ia adalah PMI disebankan oleh H1N1. Sekiranya gejalanya ringan, maka kita beri rawatan melegakan masalah (ubat demam paracetamol, hidrasi, ubat batuk dll) dan kuarantin diri, menjarakkan hubungan dan lebih berhati-hati dengan sebarang komplikasi.

Kebanyakan penghidap H1N1 (70%) tidak memerlukan ubat anti virus seperti Tamiflu atau Relenza. Cuma kes-kes yang teruk sahaja perlu dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.


2) Bagaimana doktor membuat keputusan samada seseorang itu patut menerima rawatan khusus untuk H1N1

Selepas 2-3 hari, demam dan batuk tidak berkurang, sila buat rawatan semula, terutama sekiranya terdapat kesukaran bernafas, lemah badan dan pening, atau faktor risiko seperti di bawah:-

1. Obesiti (Kegemukan dilihat mempunyai risiko komplikasi yang lebih tinggi)
2. Diabetes, sakit jantung
3. Asthma, Penyakit paru-paru kronik
4. Wanita mengandung
5. Immuniti yang rendah, pesakit kanser,
6. Mereka yang sudah mempunyai masalah jangkitan paru-paru (pneumonia)


3) Ramai pesakit yang terlalu bimbang kerana mempunyai jangkitan selsema PMI mahu diuji atau dirawat untuk H1N1 di hospital, tetapi disuruh pulang sahaja atau dibiarkan menunggu dan akhirnya tidak diuji. Adakah amalan ini betul?

Tidak ada yang betul atau yang salah tentang amalan ini, kerana wabak ini merebak terlalu meluas dan menyebabkan kita kekurangan sumber. Kes ini bukan hanya di Malaysia sahaja tetapi di semua tempat di seluruh dunia!

Saranan sekarang ialah untuk tidak menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga untuk menjalani ujian di hospital dan klinik. Kemungkinan besar ia sesuatu yang tidak perlu. Saya diberitahu seramai 1000 orang pesakit beratur dengan penuh rasa bimbang di Hospital sungai Buloh untuk menjalani ujian, kerana takut dengan H1N1.

Oleh itu mesej yang disampaikan perlu jelas. Kebanyakan penyakit selsema tidak perlu ujian pengesahan, ringan dan boleh pulih sendiri. 90 peratus akan pulih secara sendiri hanya dengan rawatan mengurangkan simptom, cuma hati hati dengan kemungkinan komplikasi yang emungkin timbul dan faktor risiko yang diterangkan tadi.

Sumber kita sangat terhad terutamanya untuk ujian pengesahan. Masalah ini bukan sahaja di Malaysia tetapisecara global. Permintaan terlalu tinggi di seluruh dunia untuk kit ujian dan bahan reagent kimia untuk H1N1 (Polymerase Chain Reaction) telah melebihi pengeluarannya disebabkan oleh masalah ini.

Sehingga 200 juta kit ujian telah dibahagi-bahagikan ke seluruh dunia tetapi bekalannya sangat kritikal kerana permintaan yang sangat tinggi. Oleh itu, setiap negara perlu mengamalkan kaedah catuan untuk menjalani ujian secara terpilih sahaja kepada pesakit yang betul-betul memerlukan agar pengawasan situasi pandemik dapat dilakukan dengan lebih berkesan.


4) Adakah doktor keliru apa yang perlu dibuat pada waktu merebaknya wabak ini, terutamanya apabila mereka tidak mempunyai kebenaran untuk menjalani ujian makmal bagi pengesahan apabila diperlukan?

Tidak sebenarnya. Pada awalnya wujud kekeliruan apa yang perlu dibuat seterusnya, siapa yang perlu menjalani ujian, siapa yang perlu dirujuk dan siapa yang perlu dimasukkan ke dalam wad. (Betul! Saya ada masalah ini sekarang!)

Tetapi sekarang peraturan telah jelas.

Tidak ada keperluan untuk menjalani ujian pengesahan H1N1 atau apa apa virus pun yang menyebabkan selsema. Kita jangkakan sahaja ia adalah H1N1 kerana ia adalah majoriti daripada kes. Rawat simptom sekiranya ringan, beri kefahaman dan keyakinan kepada pesakit bahawa pesakit yang terkena perlu menjaga kebersihan diri, menjalani kuarantin, menjarakkan hubungan, pakai topeng muka bila mereka batuk atau bersin dan sentiasa berhati-hati dengan keadaan penyakit.

Sekiranya ada sesak nafas dan badan menjadi terlalu lemah, sila ke hospital terus untuk dimasukkan ke wad. Memang dimaklumi bahawa, fasa merbahaya ini tidak selalunya jelas dan difahami oleh semua orang. Tetapi tidak apa lagi yang kita mampu buat - jika tidak kita akan masukkan terlalu ramai pesakit ke dalam wad dan ini boleh menjejaskan perkidmatan kesihatan kita.

Pemerhatian yang lebih ketat dapat membantu yang mana satu pesakit yang betul-betul memerlukan mendapat rawatan yang lebih intensif. Walaubagaimanapun, pasti terdapat kes-kes yang tertentu dimana pesakit semakin teruk tanpa dijangka, dan meninggal dunia sebelum apa-apa boleh dilakukan. Diharapkan ia akan menjadi kes yang terpencil.

Ingatan yang penting ialah semua doktor dan jururawat juga mengetahui bahawa mereka juga perlu berhati-hati dan mengamalkan cara-cara untuk menghalang diri daripada dijangkiti. Masalah ini boleh berlanjutan sehingga satu ke dua tahun. Sekiranya cuai mereka juga boleh terkena jangkitan!


5) Adakah garis panduan dari Kementerian Kesihatan lengkap untuk menangani masalah ini?

Saya fikir, garis panduan dari KKM telah lengkap. Walaupun ada ahli politik yang menyalahkan KKM dan menterinya kerana tidak cekap untuk mengendalikan pandemik ini, tetapi sebenarnya ini tidak tepat.

Kita perlu ingat bahawa ini adalah virus yang baru dan tidak pernah dihadapi sebelum ini. Jangkitannya dan cara perebakannya adalah sangat pantas dan hampir semua orang tidak immun terhadap virus ini.

Kemungkinan, suatu hari nanti, semua sumber dari kerajaan dan sektor swasta boleh digemblengkan untuk disalurkan ke arah yang lebih efisyen. Masalah logistik boleh berlaku kerana manusia adalah berbeza dari segi kapasitinya untuk memahami sesuatu masalah dan mengikut arahan-arahan yang diberikan daripada pelbagai pihak.

Adakalanya permintaan daripada pesakit adalah luar biasa dan kadang-kadang tidak terikut. Setiap pesakit merasakan bahawa penyakitnya adalah lebih bahaya dan memerlukan lebih penjagaan dan analisa.

Doktor juga berada di dalam tahap tidak pasti tentang keseriusan atau tahap bahaya penyakit baru ini - kita cuma baru cuba memahaminya dengan lebih baik sekarang. Oleh itu tahap keyakinan dan penerangan yang diberikan oleh doktor kepada pesakit tidak begitu meyakinkan bagi pesakit terutama kepada pesakit atau saudara mara yang terlalu bimbang.

Tidak ada banyak yang doktor boleh lakukan di dalam keadaan terdesak seperti ini terutama dengan cepatnya merebaknya penyakit ini seolah-olah merebaknya api ganas di dalam hutan. Apapun, kita jangan panik. Ingatlah bahawa 90% daripada pesakit yang terkena akan pulih dan mengalami kesan yang ringan. Kemungkinan hanya 10% sahaja yang dijangka akan mengalami masalah dan dimasukkan ke wad.


6) Adakah adil untuk menghadkan ujian pengesahan H1N1 hanya kepada pesakit yang dimasukkan ke hospital?

Saya sudah terangkan bahawa keadaan kekurangan kit dan alat reagent untuk menjalankan ujian pengesahan. Lagipun ujian ini tidak boleh dilakukan kepada semua orang di seluruh dunia. Apatah lagi kita mengetahui bahawa hampir semua penyakit jangkitan selsema, batuk dan gejala flu sekarang disebabkan oleh H1N1.

Rasional kita menjalankan ujian pengesahan kepada pesakit dalam wad ialah supaya kita dapat menghadapi musuh yang jelas, mengasingkan pesakit yang mempunyai virus yang bermutasi. KKM juga sedang membuat kajian secara rawak di seluruh negara untuk mengetahui dengan lebih tepat jenis-jenis virus yang merebak sekarang.


7) Adakah kita kekurangan ubat anti-virus (Tamiflu, Relenza)? Bolehkah saya makan Tamiflu?

Ubat antivirus ini didapati di kebanyakan klinik dan hospital ketika penularan wabak selsema burung (avian flu) tetapi sekarang sangat-sangat terhad. Kita kena ingat ubat ini juga dipesan oleh 167 negara di seluruh dunia.

KKM telah menyimpan di dalam stok 2,000,000 dos tamiflu dan ubat generiknya. Di dalam mesyuarat pandemik antara menteri yang lepas, Malaysia akan meningkatkan simpanan tamiflu kepada 5.5 juta dos iaitu meliputi 20 peratus populasi rakyat.

Buat masa ini, negara tidak mengalami kekurangan tamiflu. Ia cuma belum diedarkan secara umum lagi. KKM perlu memantau pemberian ubat ini dengan lebih ketat.

Sektor swasta pula berlainan pendapat dan mahukan ia diedarkan dengan lebih terbuka kepada umum dan kawalan dapat dikurangkan. Tetapi kita maklumi bahawa terdapat ketakutan yang mempunyai dasar, iaitu apabila berlaku rintangan (resistant) oleh virus ini. Cuba bayangkan virus H1N1 yang tidak lagi lut kepada apa-apa ubat antivirus. Tidak ada apa-apa lagi yang boleh menghalang kita dibunuh oleh virus ini!

Jenis virus rintangan ubat (drug resistant virus) yang kebal ini telah dikesan di Mexico, sempadan US, Vietnam, Britain dan Australia. Oleh itu kita perlu lebih cakna dan menilai keadaan semasa dengan lebih bijaksana.

Walaubagaimanapun, oleh kerana terdapat situasi di mana orang yang sihat pada asalnya tiba-tiba berubah menjadi kritikal atau meninggal dunia, maka para doktor tidak menolak kemungkinan bahawa virus jenis yang lebih garang ini sudah sampai ke tanahair kita. Atau mungkinkah kita yang lambat untuk memberi rawatan yang sepatutnya.

Tol kematian ke angka 14 (yang saya tahu 15 orang - seorang belum diumumkan) semakin membimbangkan. Pihak KKM sedang melihat perkara ini dan membuat kajian samada virus bermutasi ini sedang merebak. Kita berharap ia belum lagi berlaku.


8) Apakah masalah yang dihadapi doktor di dalam menghadapi H1N1?

Ia sangat berguna apabila doktor memberikan perhatian yang lebih kepada informasi tentang H1N1, mengetahui perubahan dan pembaharuan informasi setiap hari. Ini boleh membantu pesakit kita.

Melayari internet setiap hari untuk mengetahui informasi terkini boleh membantu. Daripada asyik merungut tentang kekurangan data dan maklumat di dalam arus perdana, para doktor perlu bersikap proaktif dan bertanggungjawab di atas masalah ini yang mungkin berlarutan sehingga ke satu atau dua tahun lagi.

Yang lebih penting, tumpukan perhatian yang lebih terhadap jangkitan paru-paru, faktor risiko dan rujuk secepat mungkin untuk penjagaan yang lebih rapi.

Kemudahan antivirus yang lebih mudah, penggunaannya yang bertanggungjawab, dan pemerhatian yang serius dapat mengurangkan keresahan dan kebimbangan orang ramai terhadap kelewatan menerima rawatan. Menggunakan antivirus secara tidak terkawal atau untuk mengelakkan jangkitan adalah cara yang salah dan menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk.

Walaupun begitu, merujuk kepada kes-kes di mana pesakit yang muda tiba-tiba meninggal dunia, maka penggunaan antivirus ini perlu digunakan lebih awal dan lebih aggressif.

Kita mengalu-alukan kehadiran Vaksin H1N1 spesifik dijangka pada akhir tahun. Buat masa ini, kepada petugas di barisan hadapan, pesakit jantung dan paru-paru dan pengembara yang sering ke luar negara dapat mengambil vaksin untuk flu bermusim yang boleh membantu mengurangkan masalah flu dari jenis lain.


9) Adakah kita sudah melaksanakan apa yang patut dan perlu dibuat?

Ya, apabila kita mellihat apa negara lain buat, kita secara relatifnya agak baik. Kita tidak telalu menakut-nakutkan orang ramai tentang bahaya penyakit ini dan dalam masa yang sama kita adalah telus di dalam menyatakan kemungkinan bahawa penyakit ini semakin merebak.

Pada awalnya, terdapat agensi, orang ramai dan doktor menuduh kami terlalu membesar-besarkan pandemik ini. Dan maklum balas kami dianggap terlalu melampau. Terlalu membesar-besarkan! Hanya apabila ada pesakit yang mati, maka apa yang kita buat sekarang pula dianggap terlalu sedikit!

Jika kita ikhlas memikir tentangnya, cuba bandingkan dengan negara lain, dan kita dapati bahawa tidak ada satu pun kerajaan di negara lain yang berjaya menangani masalah ini secara tepat.

Kita sedang mempelajari penyakit pandemik flu ini, dan maklumbalas setiap egara adalah berdasarkan pengalaman mereka yang lalu. Di Hong Kong, China, Vietnam, Singapore dan Malaysia, kita pernah mendapat penularan SARS, oleh itu kita lebih paranoid!

Dan pengalaman kita juga, tidak ada flu yang menyebabkan kematian sebelum ini, tak seperti di barat dimana flu bermusim membunuh beratus malah beribu orang setiap tahun! Oleh itu, ketakutan kepada H1N1 tidaklah setanding di barat. Walaupun sekarang ia semakin digeruni, apatah lagi kemungkinan ia akan bertukar kepada virus yang lebih garang menyebabkan ombak kedua atau ketiga pandemik ini, kita tidak akan tahu sehingga setahun dua tahun lagi.


10) Adakah orang ramai secara umum sudah cukup membantu untuk mengawal penularan ini?

Saya fikir orang ramai sudah cukup diberitahu tentang H1N1 pandemik ini. Malah mereka mungkin terlalu tahu sehingga mereka menjadi terlalu takut. Yang lebih penting, jangan panik dan berlebih-lebih.

Sudah pasti bahawa H1N1 akan merebak ke sekolah, universiti, akademi, kilang, pejabat, tempat kerja dll. WHO menganggarkan hampir 20-30 peratus populasi dunia akan dijangkiti penyakit ini setelah mengkaji model jangkitan penyakit-penyakit yang lalu. Cra jangkita utama dan yang paling pantas ialah melalui jalan udara.

Dimana flu-flu yang terdahulu mengambil masa 6 BULAN untuk merebak ke sekian banyak negara, H1N1 "berjaya" menular ke bilangan negara yang sama dalam masa 6 MINGGU!

Jika senario yang paling teruk berlaku, wabak ini dijangka akan menyebabkan kemasukan hospital sebanyak 100,000 orang sehingga ke 500,000 orang, dan kemungkinan melibatkan 5,000-27,000 orang akan meninggal dunia!

Oleh kerana kita telah memerhatikannya dengan rapat dan mengawal daripada merebak sehingga kini, keprihatinan dan tanggungjawab sosial yang tinggi daripada orang ramai, ia mungkin boleh mengawal jangkitan dan kes kematian ke tahap terkawal.

Bagaimana orang ramai boleh membantu? Pertama belajar dan laksanakan kebersihan diri yang baik. Sekiranya sakit, pastikan anda duduk di rumah, aau paling baik duduk di dalam bilik. Pakai topeng muka (topeng 3-ply pun dah cukup). Jangan keluar, jarakkan diri anda dengan orang lain lebih kurang 3 meter. Jangan keluar dan menyebarkan virus.

Bagi orang muda, ia adalah sesuatu yang sukar. Itu sebabnya virus ini merebak dengan cepat bagi golongan umur 16-25 tahun.

Bila penyakit ini tidak kurang selama beberapa hari, atau semakin teruk, pergi ke hospital yang berdekatan. Yang lebih penting, sentiasa berhati-hati dalan amalkan sikap bertanggungjawab.

Akhirnya, ambil tahu tentang berita terkini kerana informasi tentang penyakit ini sentiasa diperbaharui..

Vaksinasi H1N1 secara besar-besaran akan tiba dan masalah ini kita akan dapat atasi juga. Sementara itu, ia akan mengambil masa, tenaga, kesabaran, penggemblengan tenaga daripada pihak yang berwajib dan juga orang ramai dan menggunakan sumber kewangan yang banyak.


Dr David KL Quek ialah Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Terjemahan oleh Dr Shahrizal Azwan Bin Samsudin

Saturday, January 24, 2009

Gerhana Matahari pada 26 Januari 2009!!!


Gerhana matahari dijangka akan berlaku pada 26 Januari 2009 nanti.
mengikut masa seperti berikut. Bersama kita tunggu saatnya, dan disunatkan kita semua melakukan solat sunat gerhana matahari apa bila gerhana ini berlaku.


Gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari oleh itu menutup cahaya matahari. Walaupun bulan lebih kecil, bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana bulan dengan purata jarak 384,400 kilometer adalah lebih dekat kepada bumi berbanding matahari yang mempunyai jarak purata 149,680,000 kilometer.

Gerhana matahari boleh dibahagi kepada 3 iaitu gerhana penuh, gerhana separuh, dan gerhana analus. Gerhana penuh apabila matahari ditutup sepenuhnya oleh bulan disebabkan bulan berada dekat ke bumi dalam orbit bujurnya, gerhana separuh apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari, dan gerhana analus yang terjadi apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari dan cahaya matahari selebihnya membentuk cincin bercahaya sekeliling bayangan bulan yang dikenali sebagai 'corona'.

Gerhana matahari berlaku selama 7 minit 30 saat pada tempat yang paling lama. Ketika gerhana matahari, orang ramai dilarang melihat ke arah matahari secara langsung kerana ini boleh merosakkan mata dan mengakibatkan buta.

Bagi mereka yang beragama Islam, mereka digalakkan untuk melakukan Solat Sunat Gerhana ketika berlakunya gerhana.


Solat Sunat Gerhana


Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari.
Isi kandungan


* 1 Definisi Kusuf dan Khusuf
* 2 Hukum Solat Gerhana Matahari
* 3 Cara Solat Sunat Gerhana
* 4 Lihat juga
* 5 Pautan luar

Definisi Kusuf dan Khusuf

Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu'nya atau keseluruhannya. Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu' atau pun keseluruhannya. Ramai ulama' yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.

Hukum Solat Gerhana Matahari

Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.

Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.

Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah image:saws.jpg pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana. Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia.

Rasulullah image:saws.jpg telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan kekuasaan Allah dalam membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik.

Cara Solat Sunat Gerhana
Gerhana Penuh Matahari

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! (Solat berjemaah)

Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :

Rakaat pertama

1. Niat solat Gerhana, Takbir
2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
3. Rukuk
4. I'tidal
5. Baca Al-Fatihah dan surah
6. Rukuk.
7. I'tidal.
8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

Rakaat kedua

2. Baca Al-Fatihah dan surah.
3. Rukuk.
4. I'tidal,
5. Baca Al-Fatihah dan surah.
6. Rukuk.
7. I'tidal.
8. Sujud
9. Tahiyyat Akhir

Thursday, September 18, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua!!!
Maaf zahir dan Batin!!!

Wednesday, September 3, 2008

Delima!!!


Lazuardi langit tidak dapat menenangkan hati si suami. Melihat isteri tercinta dalam sakit terbaring di atas katil. Semestinya ia bukan sakit yang begitu merisaukan tetapi cukuplah kerana cinta yang menggunung buat si isteri, hanya kerana sakit yang sedikit sudah mampu menggundahkan hati si suami mencari penawarnya.

“ habibi..ana teringin hendak makan delima..ana kempunan sangat rasa ni..” suara isteri lemah perlahan.

Suami memandang mata redup si isteri yang meminta belas. Kemudian mata si suami bergenang. Namun ditahannya agar ia tidak merawankan lagi hati isteri yang amat dicintainya. Bukan si isteri tidak mengerti kesempitan hidup mereka, tetapi keteringinannya sudah tidak dapat dibendung lagi. suami menyeluk saku dan mengira tabungannya. Demi isteri, harusku cari kerja yang lebih.

Ya Allah, permudahkanlah aku memenuhi hajat isteriku yang sudah banyak membantuku dalam menyeru agamamu. Apatahlagi dia adalah anak kepada Kekasihmu. Tidaklah sampai hatiku melukai hatinya kerana amat kukhuatir andai aku melukai Kekasihmu.

Esoknya, subuh-subuh metah si suami sudah ke pasar. Mencari kerja tambah jika ada. Cukuplah untuk membeli walau sebelah delima untuk si isteri. Alhamdulillah, dengan bayaran upah menjual di pasar, dapatlah si suami membeli sebiji delima. Tidak dapat terbayangkan girangnya hati suami melayari wajah isterinya yang tersenyum manis ketika dia menghulurkan delima buat si isteri. Jarak rumah yang hanya sejengkal dari pasar terasa bagai berbatu-batu jauhnya untuk bertemu si isteri.

Tiba-tiba dia terhenti. Langkahnya mati seketika melihatkan seorang pak cik tua yang kusut pakainya. Rambut dan janggutnya yang berserabut tidak bercukur menambahkan keadaan daif si pak cik. Pada tangannya terdapat sebuah bekas yang ditadahnya mengemis belas dari pengunjung pasar. Kelihatan juga sekeping roti yang sudah hitam-hitam di tangan kirinya menanti untuk dijamah.

“ tuan, tuan..saya terlalu lapar.” getar suara Pak Cik itu menghibakan hatinya.

Antara isteri di rumah yang sangat mengidamkan delima di tangannya dan seorang pak cik yang akan dibiarkan menjamah roti yang hanya layaknya untuk dijamah ulat. Suara hati mula bertingkah, antara iman dan nafsu. Antara aula dan utama.

Duhai hati yang lembut jiwanya, yakinkah kamu akan balasan jika kamu infak? Yakinkah kamu akan janji Allah yang menguntungkan jika kamu bersedekah?

Kerana itu, si suami melangkah pulang. Agak lambat jalannya kerana mencari jawapan untuk diberikan kepada si isteri. Setelah sahaja sampai di muka pintu, hatinya menjadi sedih. Bukan kerana menyesal kerana sedekahnya sebentar tadi, sedih kerana dia tidak dapat menunaikan hajat isterinya.

“ habibi dah pulang..delimanya ada habibi?” Si isteri seperti yakin bahwa suaminya akan membawakannya delima.

Tidak lekang senyum si isteri menyambut suami tercinta. Namun, dengan segenap kekuatan, si suami membalas senyum bagi mengurangkan gulananya hati. Ah, semestinya ia tidak sampai hati mengecewakan si isteri. Tetapi bagaimana?

Renungan antara mereka terganggu dengan bunyi ketukan pintu. Si suami agak hairan kerana jarang mereka menerima kunjungan ketika waktu matahari memanah begini. Sama-sama mereka menjungkitkan bahu. Suami berjalan menyambut tetamu yang tidak diduga.

“ ahlan, ahlan ya Salman! Jarang benar enta ke sini waktu-waktu begini. Ada apa yang ana boleh bantu?” Suami berjabat tangan menghulur salam.

Dilihat wajah Salman cemerlang dengan cahaya ketenangan. Tambah pula, sedari tadi, tidak lekang-lekang bibirnya mengukir senyum semanis gula buat sahabatnya. Apa gerangan berita yang molek yang dibawa Salman ketika ini?

“ sahabatku, ini untuk enta dan isteri.” Salman menghulur sedulang delima yang mengandungi Sembilan biji semuanya.

“ ah, enta jangan bergurau, jika ianya untuk ana, pastinya sepuluh semuanya.” Sahabatnya begitu yakin membalas.

“ Wah, kenapa enta cakap begitu? Memang sembilan semuanya enta.” Salman bersungguh menduga. Sedikit-sebanyak hatinya agak tergugat.

“ Salman, Allah sudah katakan, setiap satu pemberian akan digandakan sepuluh bukan?” Kali ini Salman terperangkap. Lalu dikeluarkan sebiji delima yang sengaja dibawa sorok ke dalam lengan bajunya.

Apabila Salman sudah kembali, si suami segera mendapatkan isterinya dengan membawa sedulang delima sebagai hadiah daripada sedekahnya tadi. Sememangnya dia tidak menduga begitu langsung sekali Allah mengotakan janjiNya. Bahkan dia tidaklah mengharapkan sebanyak itu ganjarannya biarpun dia yakin benar bahawa Allah tidak akan berbohong.

“ perumpamaan bagi orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui” – (albaqarah:261)

Untuk sahabat semua, kisah ini benar-benar berlaku ketika zaman sahabat. Anda tahu siapa pasangan suami isteri ini? Suaminya seorang khalifah dan isterinya adalah puteri Rasulullah.

Renung-renungkan sejauh mana reaksi kita apabila melihat pengemis. Bukannya suruh disedekahkan sampai satu juta, wang kertas seringgit pun rasakan bagaikan seberat gunung untuk disedekahkan. Bahkan, hendak keluar berkeping-keping duit menonton wayang, beli CD filem terbaru, membeli belah di Mid Valley, bagai ringan pula duit-duit itu semua terbang. wallahu'alam. Peringatan untuk diri saya juga. (,")

Kalaulah jauh...kalaulah sempurna...kalaulah baru...


Tersebut suatu kisah pada zaman Rasulullah dahulu bahawa seorang sahabat nabi sedang bertarung dengan sakaratul maut dan para sahabat yang lain langsung mengelilinginya untuk mengajarkannya syahadah. Hampir banyak kali juga mereka membisikkan syahadah ke telinganya, namun apa yang keluar dari mulutnya adalah 3 ayat yang amat menimbulkan tanda tanya kepada mereka.

Dengan sesak dada yang turun naik, sahabat tersebut menyebut “…kalaulah jauh…kemudian disusuli pula,…kalaulah sempurna….dan kemudian..kalaulah baru…”

Lantas apabila mendengar ulangan ayat ini, mereka lantas bertemu Rasulullah. Maka berkata Rasulullah, Tahukah kamu apa yang sedang berlaku? Kesemua mereka menggeleng. “ sesungguhnya, ketika hayatnya dahulu pernah dia mendukung seorang tua yang tidak berdaya ke masjid. Kemudian, pernah juga dia memberi makan satu-satunya sekeping roti kepada seorang pengemis fakir miskin. Suatu hari juga, dia pernah memberikan satu-satunya baju yang dia ada kepada seorang hamba yang kesejukan.

Maka, ketika di ambang sakaratul maut, telah ditayangkan segala amalannya dan bayangan syurga yang terhias sangat indah. Inilah dialognya apabila melihat amalan-amalannya. “ Ya Allah, hanya dekat sahaja aku mendukung orang tua itu, sudah kau hadiahkan istana yang tak terbayang indahnya,kalaulah jauh…” Apabila ditebarkan pula amalannya yang satu lagi, “Ya Allah, hanya sedikit sahaja roti yang aku berikan dan tidak cukup pula aku rasakan, kalaulah sempurna…” Kemudian, dibentangkan amalan yang seterusnya, “ Ya Allah, baju yang aku berikan adalah bajuku yang lusuh lama, kalaulah ianya baru, agaknya bagaimana keindahan istana yang akan kau hadiahkan padaku.”

Maka, tahulah sahabat-sahabat Rasulullah itu bahawa sahabat tersebut adalah bakal penghuni syurga. Maka sedarlah mereka, Allah Maha Pemurah. Walaupun amalan yang dirasakan sedikit sahaja nilainya, Allah akan membalasnya dengan nikmatnya yang tidak terbayang oleh kita. Sesungguhnya, ketika kita menghadapi sakaratul maut, Allah akan membentangkan segala amalan kita. Adakah kita mahu mengakhiri hidup kita dengan tayangan amalan kita yang menjijikkan dan bayangan neraka yang menggerunkan?

Kesimpulannya, saya seru sahabat-sahabat sekalian agar sama-sama kita bekerja yang maaruf, dan menolong mereka yang memerlukan dengan sekadar kemampuan kita. Apatahlagi kita kini berada dalam daerah yang penuh barakah dan rahmat daripada Allah. Ayuh, kita kutip sebanyak mutiara yang tertebar yang Allah hidangkan untuk kita.