Home

Selamat Datang Ke Laman NurSKBM -- Sesungguhnya saat yang paling dekat antara dirimu dengan ALLAH Subhanahu wa Ta'ala, iaitu apabila engkau sedang bersujud kepadaNya. Dan saat yang paling berbahagia adalah ketika engkau ikhlas kepadaNya. Saat yang paling lapang bagimu adalah ketika engkau berzikir kepadaNya. Dan saat dimana engkau paling berharap kepadaNya adalah ketika engkau berdo'a kepadaNya
( SKBM 100 TAHUN PADA 2010)

Monday, April 7, 2008

Mahalnya Sebuah Kehormatan


Seorang pemuda masuk ke dalam sebuah kedai makan, memesan makanan. Tidak beberapa lama kemudian, pesanannya datang.

Saat pemuda itu hendak menikmati makanannya, datanglah seorang anak kecil lelaki menjajakan kuih padanya, “Bang, mahu beli kuih, bang ?”

Dengan ramah pemuda yang sedang makan itu menjawab “Tidak, saya sedang makan”.

Anak kecil tersebut tidak putus asa dengan cubaan pertama.

Dia menunggu sampai pemuda itu selesai makan, lalu dia tawarkan lagi kuih dagangannya, “Bang, mahu beli kuih, bang ?”

Pemuda tersebut menjawab, “Tidak dik, saya sudah kenyang.”

Lalu, pemuda itu membayar di kaunter dan beranjak pergi dari kedai makan tersebut. Si anak kecil penjaja kuih itu mengikuti. Sudah hampir seharian dia menjajakan kuih buatan ibunya. Dia tidak menyerah pada usahanya.

Anak itu berfikir, “Cuba aku tawarkan kuih ini lagi pada pemuda itu. Siapa tahu kuih ini dijadikan ole ole buat orang di rumahnya.”

Apa yang dilakukan oleh anak kecil itu adalah usaha gigih membantu ibunya menyambung kehidupan yang serba sederhana ini.

Saat pemuda itu keluar rumah makan, anak kecil penjaja kuih itu menawarkan kuih dagangannya untuk yang ketiga kali, “Bang mahu beli kuih saya ?”.

Kali ini pemuda itu merasa risih untuk menolak. Kemudian, dia mengeluarkan wang RM 10 dari dompetnya dan diberikan pada anak kecil itu sebagai sedekah.

Katanya, “Dik, ambil wang ini. Saya tidak beli kuih adik. Anggap saja ini sedekah dari saya buat adik.”

Anak kecil itu menerima wang pemberian pemuda lalu memberikannya kepada seorang pengemis yang sedang meminta minta. Betapa terkejutnya pemuda itu.

“Bagaimana anak ini ? Diberi wang tak mahu malah diberikan pada orang lain?”.

Katanya, “Kenapa kamu berikan wang itu pada pengemis ? Mengapa tidak kau ambil saja ?”

Anak kecil penjaja kuih tersenyum lucu menjawab, “Saya sudah berjanji sama ibu di rumah untuk menjualkan kuih buatan ibu, bukan jadi pengemis. Dan saya akan bangga pulang ke rumah bertemu ibu kalau kuih buatan ibu terjual habis. Wang yang saya berikan kepada ibu hasil usaha kerja keras saya. Ibu saya tidak suka saya menjadi pengemis”.

Pemuda itu kagum dengan kata kata yang diucapkan anak kecil penjaja kuih yang masih sangat kecil buat ukuran seorang anak yang sudah punya etika kerja bahawa “kerja adalah sebuah kehormatan”. Kehormatan anak kecil itu akan berkurang di hadapan ibunya, bila dia tidak bekerja keras dan berhasil menjajakan kuih. Dan, adalah pantangan bagi sang ibu bila anaknya menjadi pengemis. Dia ingin setiap kali pulang ke rumah dia melihat ibunya tersenyum menyambut kepulangannya dan senyuman bonda yang tulus dia balas dengan kerja yang terbaik dan menghasilkan wang.

Akhir cerita, pemuda tadi memborong semua kuih yang dijajakan anak kecil itu. Bukan kerana kasihan, bukan kerana lapar tapi kerana prinsip yang dimiliki anak kecil itu “kerja adalah sebuah kehormatan”. Dia akan mendapatkan wang kalau dia sudah bekerja dengan baik.

Semoga cerita di atas bisa menyedarkan kita tentang erti pentingnya kerja. Bukan sekadar untuk wang semata. Jangan sampai mata kita menjadi “hijau” kerana wang sehingga melupakan apa erti pentingnya kebanggaan kerjaya yang kita miliki. Sekecil apapun kerjaya itu, kalau kita kerjakan dengan sungguh-sungguh, pastilah akan bererti besar.

Sunday, April 6, 2008

Bayarlah Dengan Segelas Susu


Sudah beberapa jam si pengembara berjalan kaki memerhatikan pemandangan indah musim bunga di kawasan perkampungan itu. Bunga-bungaan sedang mekar, unggas dan serangga yang berterbangan ke sana dan serata halaman rumah yang cantik dihiasi kuntuman bunga amat menarik perhatian pengembara muda itu.

Tetapi perjalanan yang jauh dan matahari yang sedang terik menyebabkan pemuda yang cintakan keindahan alam itu mula berasa letih. Tekaknya kering, sedangkan pengembaraannya masih panjang lagi.

Lantas pemuda itu memutuskan untuk pergi ke sebuah rumah kecil di sebuah ladang di tepi jalan yang sedang disusurinya itu. Seorang budak perempuan membuka pintu rumah yang diketuknya tadi. Wajahnya comel.

Pemuda itu menceritakan yang dirinya kehausan, dia berharap budak perempuan itu dapat memberikannya segelas air. Budak perempuan itu bergegas ke dapur dan sebentar kemudian kembali mendapatkan pemuda tersebut.

Dia bukan membawa segelas air, sebaliknya segelas susu kerana dia tahu pemuda tersebut bukan sekadar dahaga tetapi juga memerlukan tenaga untuk meneruskan pengembaraannya.

“Berapa harga susu ini?” tanya pemuda itu selepas menghabiskan susu tersebut.

Jawab budak perempuan itu, “Oh, percuma! Tak perlu bayar. Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan”

Pengembaramuda itu tersentuh hati dengan jawapan tersebut. “Kalau begitu, saya hanya dapat mengucapkan terima kasih sahaja,”kata pemuda tersebut, disambut oleh budak perempuan itu dengan senyuman dan anggukan.

Sifat mulia budak perempuan itu memberikan kesan yang mendalam kepada pemuda yang berkenaan. Kejujuran budak itu dan keengganannya menerima sebarang bayaran, walaupun dirinya sendiri miskin, sering saja bermain dalam fikiran pemuda tersebut.

Tahun berganti, budak perempuan itu yang kini berusia 20-an, diserang penyakit kronik. Dia dihantar ke sebuah hospital terkenal di tengah kota untuk diperiksa oleh doktor pakar dan seterusnya menjalani pembedahan. Seorang doktor dipanggil.

Sejurus melihat wajah gadis itu dan alamat tempat tinggalnya, doktor itu segera terkenang saat dia meneguk segelas susu suatu ketika dahulu. Tidak lain tidak bukan, inilah budak perempuan yang pernah memberinya segelas susu dan kemudiannya berkata,” Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan,”

Kini masanya untuk membalas jasa. Doktor itu melakukan segala yang terdaya untuk menyelamatkan gadis tersebut. Si gadis ditempatkan di wad untuk beberapa lama. Pembedahan dilakukan dan penyakit si gadis berjaya diubati.

Kini bayaran perlu dikenakan kepadanya. Bil rawatan ditunjukkan kepada doktor itu untuk pengesahan. Doktor tersebut menyelaknya sehelai demi sehelai. Dia memerhatikan setiap angka yang tercatat pada bil tersebut, kemudian menulis sesuatu di bucu helaian terakhirnya. Setelah itu dia menurunkan tandatangannya. Bil itu dihantar ke alamat yang tertera, iaitu sebuah rumah kecil di pinggir ladang.

Gadis tersebut menggeletar sebaik menerima bil tersebut. Helaian demi helaian dibeleknya, ternyata jumlahnya terlalu besar. Dia tidak mampu membayarnya. Walau si gadis bekerja sepanjang hayat sekalipun, belum tentu dia dapat membayar bil yang dikenakan itu.

Jumlah-jumlah yang menakutkan terus terpapar, hinggalah ke helaian terakhir apabila si gadis membaca satu catatan ringkas di bucunya. Tulisan itu berbunyi…

“Bayarlah dengan segelas susu..”

Dr Howard Kelly

—————————-

Artikel ini adalah pengalaman sebenar Dr Howard Kelly (1858-1943), salah seorang daripada empat doktor yang mengasaskan Universiti John Hopkins. Amerika Syarikat.

Kasih Sayang Seorang Adik


Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

“Siapa ambil duit ayah?” tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

“Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!” sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, “Saya yang ambil!”

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.

Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut:

“Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?”

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.

Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,”Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!”

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, “Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!”

“Tapi apalah maknanya bang… !” aku terdengar ibu teresak-esak.
“Di mana kita nak cari duit membiayai mereka?”

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. “Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!”

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.

Panggggg… .sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

“Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!”

“Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan,” aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

“Kakak perempuan… biarlah kakak yang berhenti.”

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat… ..

“Kak… untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak.”

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: “Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!”

“Pemuda kampung?” bisikku. “Siapa?”

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. “Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!”

Sambil tersenyum dia menjawab, “Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?”

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, “Akak tak peduli apa orang lain kata.”

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, “Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak.”

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

“Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik.”

“Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka.”

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.

“Sakit ke?” aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

“Tak… .Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa.

Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras.”

Apalagi… aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.

“Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?” kata adik.

“Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada.”

“Adik tak ke sekolah pun kerana akak.” kata ku memujuk.

“Kenapa sebut kisah lama, kak?” katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, “Siapakah orang yang paling anda sayangi?”

Spontan adik menjawab, “Selain emak, kakak saya… .”katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

“Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar.”

“Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila.”

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

Pinggan Untuk Ayah


Seorang lelaki tua yang baru kematian isteri tinggal bersama anaknya, Arwan dan menantu perempuannya, Rina, serta anak pasangan itu, Viva yang baru berusia enam tahun. Keadaan lelaki tua itu agak uzur, jari-jemarinya sentiasa menggeletar dan pandangan pula semakin hari semakin kabur.

Malam pertama berpindah ke rumah anaknya, mereka makan malam bersama. Lelaki tua merasa kurang selesa menikmati hidangan di meja makan. Dia merasa amat canggung menggunakan sudu dan garpu. Selama ini dia gemar bersila, tapi di rumah anaknya dia tiada pilihan. Cukup sukar dirasakannya, sehingga makanan bersepah tanpa dapat dikawal. Bukan dia tidak merasa malu berkeadaan begitu di depan anak menantu, tetapi dia gagal menahannya. Lantaran kerap benar dijeling menantu, seleranya patah. Dan tatkala dia mencapai gelas minuman, pegangannya terlucut.

Prannnnngggggg … !! Bertaburan kaca di lantai. Lelaki tua serba salah. Dia bangun,cuba mengutip serpihan gelas itu, tapi Arwan melarangnya. Rina masam mencuka. Viva pula kesian melihat datuknya, tapi dia hanya melihat, kemudian makan semula.

“Esok ayah tak boleh makan bersama kita,” Viva mendengar ibunya berkata pada ayah, sebaik datuk menghilangkan diri ke dalam bilik.

Arwan hanya membisu. Namun sempat anak kecil itu merenung tajam ke dalam mata Arwan. Sebagai memenuhi tuntutan Rina, Arwan membeli sebuah meja kecil yang rendah, lalu diletakkan di suatu sudut bilik makan. Di situlah ayahnya menikmati hidangan bersendirian, sambil anak menantu makan di meja berhampiran. Viva pula dihalang apabila dia merengek mahu makan bersama datuknya.

Air mata lelaki tua meleleh mengenang nasibnya diperlakukan begitu. Ketika itu dia teringat kampung halaman yang ditinggalkan. Dia terkenang arwah isterinya. Lalu perlahan-lahan dia berbisik:”Miah… buruk benar layanan anak kita pada abang.”

Sejak itu, lelaki tua merasa tidak selesa tinggal di situ. Hari-hari dia diherdik kerana menumpahkan sisa makanan. Dia diperlakukan seperti hamba. Pernah dia terfikir untuk lari dari situ, tetapi mengenangkan cucunya, dia menahan diri. Dia tidak mahu melukakan hati cucunya. Biarlah dia menahan diri dikelar dan dicalar anak menantu. Suatu malam, Viva terperanjat melihat datuknya makan menggunakan pinggan kayu, begitu juga gelas minuman yang diperbuat daripada buluh. Dia cuba mengingat-ingat, di manakah dia pernah melihat pinggan seperti itu.

“Oh! Ya…” bisiknya.Viva teringat, semasa berkunjung ke rumah sahabat papanya dia melihat tuan rumah itu memberi makan kucing-kucing mereka menggunakan pinggan yang sama.

“Taklah pecah lagi, kalau tak, nanti habis pinggan mangkuk mama,” kata Rina apabila anaknya bertanya.

Masa terus berlalu. Walaupun makanan berselerak setiap kali waktu makan, tiada lagi pinggan atau gelas yang pecah. Apabila Viva merenung datuknya yang sedang menyuap makanan, kedua-duanya hanya berbalas senyum. Seminggu kemudian, sewaktu pulang dari bekerja, Arwan dan Rina terperanjat melihat anak mereka sedang bermain dengan kepingan-kepingan kayu. Viva seperti sedang membuat sesuatu. Ada penukul, gergaji dan pisau di sisinya.

“Eh, apa sayang buat ni? Berbahaya main benda-benda ni,” kata Arwan menegur manja anaknya. Dia sedikit hairan bagaimana anaknya dapat mengeluarkan peralatan itu, sedang ia disimpan di dalam stor.

“Nak buat pinggan, mangkuk dan gelas untuk ayah dan emak. Bila Viva besar nanti, taklah susah cari. Kesian ayah, terpaksa ke bandar beli pinggan atuk,” kata Viva.
Gamam mendengar jawapan anaknya, Arwan terkedu. Perasaan Rina terusik. Kelopak mata kedua-duanya bergenang. Jawapan Viva menusuk, seluruh tangkai jantung dirasa seperti dihiris sembilu. Mereka benar-benar rasa bersalah! Malam itu Arwan memimpin tangan ayahnya ke meja makan. Rina menyenduk nasi dan menuang minuman ke dalam gelas. Nasi yang tumpah tidak dihiraukan. Viva beberapa kali memandang ibunya, kemudian ayah dan akhir sekali wajah datuknya. Dia tidak bertanya, cuma tersenyum selalu bagi menyatakan rasa seronok duduk bersebelahan datuknya di meja makan. Lelaki tua itu juga tidak tahu kenapa anak menantunya tiba-tiba berubah.

“Esok Viva buang pinggan kayu tu, nak buat apa?” kata Viva pada ayahnya selepas makan.

Arwan hanya mengangguk, tetapi dadanya terus sebak.

Moral:
Hargailah kasih sayang kedua orang tua kita. Ibu bapa kita hanya satu, perginya tidak akan ada pengganti. Jadi, berbaktilah kepada mereka selagi hayat dikandung badan!

Anak, Ayah Dan Burung Gagak


Pada suatu petang seorang tua bersama anak lelakinya yang baru menamatkan pendidikan tinggi duduk berbual-bual di halaman sambil memerhatikan suasana di sekitar mereka. Tiba-tiba seekor burung gagak hinggap di ranting pokok berhampiran. Si ayah terus menuding jari ke arah gagak sambil bertanya, “Nak, apakah bendanya itu?”

“Burung gagak, ayah”, jawab si anak.

Si ayah mengangguk-angguk, namun sejurus kemudian sekali lagi mengulangi soalan yang sama. Si anak menyangkakan ayahnya kurang mendengar jawapannya tadi lalu menjawab dengan sedikit kuat,”Itu burung gagak ayah!”

Tetapi sekali lagi si ayah bertanya soalan yang sama. Si anak merasa agak keliru dan sedikit runsing dengan soalan yang sama diulang-ulang, lalu menjawab dengan lebih kuat, “BURUNG GAGAK!!”

Si ayah terdiam seketika. Namun tidak lama kemudian tetap mengajukan soalan yang serupa hingga membuatkan si anak hilang sabar dan menjawab dengan nada hendak tak hendak melayan si ayah, “Gagak la ayah…….”.

Tetapi agak mengejutkan si anak, apabila si ayah sekali lagi membuka mulut hanya untuk bertanyakan soalan yang sama. Dan kali ini si anak benar-benar hilang sabar dan menjadi marah.

“Ayah! Saya tak tahu samada ayah faham atau tidak. Tapi sudah lima kali ayah bertanya soalan tersebut dan saya sudah pun memberikan jawapannya. Apalagi yang ayah mahu saya katakan? Itu burung gagak, burung gagak la…..”, kata si anak dengan nada yang begitu marah.

Si ayah terus bangun menuju ke dalam rumah meninggalkan si anak yang terpinga-pinga. Sebentar kemudian si ayah keluar semula dengan sesuatu di tangannya. Dia menghulurkan benda itu kepada anaknya yang masih geram dan tertanya-tanya. Ia adalah sebuah diari lama.

“Cuba kau baca apa yang pernah ayah tulis di dalam diari itu”, pinta si ayah. Si anak akur dan membaca perenggan yang berikut…

“Hari ini aku di halaman melayan karenah anakku yang genap berumur lima tahun. Tiba-tiba seekor gagak hinggap di pohon berhampiran. Anakku terus menunjuk ke arah gagak dan bertanya, “Ayah, apa tu?”.

Dan aku menjawab, “Burung gagak”.

Walau bagaimana pun, anakku terus bertanya soalan yang serupa dan setiap kali aku menjawab dengan jawapan yang sama. Sehingga 25 kali anakku bertanya demikian, dan demi cinta dan sayangkannya aku terus menjawab untuk memenuhi perasaan ingin tahunya. Aku berharap ianya menjadi suatu pendidikan yang berharga.”

Setelah selesai membaca perenggan tersebut si anak mengangkat muka memandang wajah si ayah yang kelihatan sayu.

Si ayah dengan perlahan bersuara, ” Hari ini ayah baru bertanya kau soalan yang sama sebanyak lima kali, dan kau telah hilang sabar serta marah.”

Iktibar cerita: Sebagai anak, kita wajiblah menjaga hati ibu bapa. Jangan sesekali mengecilkan hati mereka.

Nilai Sepuluh Ringgit


Seorang bapa pulang ke rumah dalam keadaan letih disambut oleh anak lelakinya yang berusia tujuh tahun di muka pintu.

“Ayah, boleh tak Amin tanya satu soalan?”

“Ya, nak tanya apa?”

“Berapa pendapatan ayah sejam?”

“Itu bukan urusan kamu. Buat apa nak sibuk tanya?”

“Amin saja nak tahu ayah. Tolonglah bagi tahu berapa ayah dapat sejam bekerja di pejabat?”

“20 ringgit sejam.”

“Oh…” kata si anak sambil tunduk menekur lantai. Kemudian memandang wajah ayahnya semula sambil bertanya, “Ayah….boleh tak Amin pinjam sepuluh ringgit daripada ayah?”

Si ayah menjadi berang dan berkata, “Oh, itu ke sebabnya kamu tanya pasal pendapatan ayah? Kamu nak buat apa sampai mintak sepuluh ringgit? Nak beli barang mainan lagi? Jangan nak membazir. Ayah kerja penat-penat bukan untuk buang duit sebarangan. Sekarang pergi balik ke bilik dan tidur, dah lewat dah ni…”

Kanak-kanak tujuh tahun itu terdiam dan perlahan-lahan melangkah kembali ke biliknya. Si ayah duduk di atas sofa dan mula memikirkan mengapa anaknya yang kecil itu memerlukan duit sebanyak itu. Kira-kira dua jam kemudian si ayah kembali tenang dan terfikir kemungkinan anaknya benar-benar memerlukan duit untuk keperluan di sekolahnya kerana anaknya tidak pernah meminta wang sebanyak itu sebelum ini. Dengan perasaan bersalah si ayah melangkah menuju bilik anaknya dan membuka pintu.
Didapati anaknya masih belum tidur. “Kalau kamu betul-betul perlu duit, nah ambillah sepuluh ringgit ini,” kata si ayah.

Kanak-kanak itu segera bangun dan tersenyum girang. “Terima kasih banyak ayah,” katanya begitu gembira. Kemudian dia tercari-cari sesuatu di bawah bantalnya dan mengeluarkan sekeping not sepuluh ringgit yang sudah renyuk.

Bila ternampak duit itu si ayah kembali berang. “Kenapa kamu mintak duit lagi sedangkan kamu dah ada duit sebanyak itu? Dari mana kamu dapat duit di bawah bantal tu?” Jerkah si ayah.

Si anak tunduk tidak berani merenung wajah ayahnya. “Duit ini Amin kumpul dari belanja sekolah yang ayah beri setiap hari. Amin minta lagi 10 ringgit sebab duit yang Amin ada sekarang tak cukup,” jawab si anak perlahan.

“Tak cukup untuk beli apa?” soal balik si ayah.

“Ayah, sekarang Amin sudah ada 20 ringgit. Ayah ambil duit ni. Amin nak beli sejam dari masa ayah. Amin nak makan malam bersama ayah,” jawab si anak tanpa berani memandang wajah ayahnya.

Baru si ayah benar-benar faham maksud anaknya itu….

Moral:
Kadangkala kita terlampau sibuk sehingga mengabaikan insan tersayang yang dahagakan kasih sayang dan perhatian kita. Oleh itu, luangkan sedikit waktu untuk bersama mereka…