Home

Selamat Datang Ke Laman NurSKBM -- Sesungguhnya saat yang paling dekat antara dirimu dengan ALLAH Subhanahu wa Ta'ala, iaitu apabila engkau sedang bersujud kepadaNya. Dan saat yang paling berbahagia adalah ketika engkau ikhlas kepadaNya. Saat yang paling lapang bagimu adalah ketika engkau berzikir kepadaNya. Dan saat dimana engkau paling berharap kepadaNya adalah ketika engkau berdo'a kepadaNya
( SKBM 100 TAHUN PADA 2010)

Tuesday, April 1, 2008

Teknik Belajar Berkumpulan

Antara teknik belajar yang begitu popular di kalangan pelajar serta mahasiswa adalah secara berkumpulan. Apabila ditanya kepada kita, apakah kita tahu tentang teknik belajar secara kumpulan. Ramai antara kita yang akan mengatakan mereka tahu tentang apakah yang dimaksudkan dengan belajar berkumpulan, tetapi sejauh manakah pengetahuan serta pemahaman kita dalam aspek ini. Apabila ditanya tentang belajar berkumpulan ini, ramai mengatakan bahawa ia hanya sekadar dilaksanakan bersama kawan-kawan. Belajar berkumpulan harus dihalusi dan diteliti. Ini kerana ada segelintir yang mengatakan bahawa belajar berkumpulan hanya membuang masa sahaja. Apabila keluar dari sesi belajar secara berkumpulan, tidak banyak manfaat yang diperolehi. Ini merupakan tanggapan yang salah.

Menurut Mohd Yusof Othman (1998), menyatakan satu kaedah yang boleh dilakukan dalam usaha untuk meningkat dan menjana ilmu adalah belajar secara kumpulan. Belajar secara berkumpulan boleh dalam bentuk yang formal seperti membentuk dalam kumpulan tertentu (study circle) dengan matlamat yang sama, atau kumpulan yang tidak formal dana mempunyai ahli-ahli yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang yang berbeza.

Belajar secara berkumpulan sebenarnya lebih berkesan berbanding dengan belajar bersendirian. Ini kerana dalam belajar secara berkumpulan, idea atau pemikiran dapat dikongsi bersama. Misalnya ada sebahagian ahli yang membaca buku yang berbeza daripada kita, pandangan daripada buku tersebut dapat diperolehi dengan segera. Begitu juga dengan pengalaman yang berbeza yang dialami oleh setiap ahli kumpulan. namun demikian, belajar berkumpulan memerlukana adab dan disiplin diri yang tinggi. Misalnya perlu mengemukakan pandangan secara teratur, bersedia untuk berbeza pendapat, menggunakan kumpulan sebagai wadah untuk "sumbang saran" atau menyemarakkan idea. Perkara lain yang juga perlu diberi perhatian dalam usaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan adalah kesanggupan untuk berfikir secara aktif. Yakni kesanggupan untuk berhujah dalam minda dengan melakukan analisis dan hipotesis secara kritis dengan penuh adab dan akhlak disamping menyakini wibawa diri orang yang menyampaikan maklumat. Dengan semikian, pemikir yang baik bukanlah pemikir yang stereotype yang tidak boleh menghormati kaedah bagaimana orang yang tidak sealiran dengannya berfikir.

Sebagai contoh katakanlah seorang pelajar yang bijak menyenaraikan isi-isi penting dalam topik "Gejala sosial di kalangan remaja". Pelajar ini mendapat 10 isi. Kemudian tajuk ini diberikan juga kepada kumpulan (5 hingga 7 orang) pelajar. Mereka ini dapat menyenaraikan sekurang-kurangnya 15 isi penting.

Secara luarannya dapat dilihat bahawa kumpulan dapat memberikan sumbangan yang besar jika dibandingkan dengan seorang. Namun yang menjadi dilemanya adalah kaedah yang tersusun, sistematik dan sempurna. Di sini dipaparkan kaedah yang betul tentang belajar berkumpulan.

Peranan Belajar Berkumpulan

1. Agihkan setiap ahli dengan satu tajuk.

Setiap ahli perlu diberi tanggungjawab. Jika kita menjadi ahli dalam kumpulan tersebut, kita mesti mempunyai satu tanggungjawab yang mesti dipegang. Ini membolehkan kita mengambil berat dan merasakan bahawa kita mempunyai peranan di dalam kumpulan.

2. Ahli mesti sehaluan.

Ahli yang dipilih dalam kumpulan mesti mempunyai matlamat yang sama iaitu cemerlang dalam pelajaran. Kita tidak mahu ahli yang ada di dalam kumpulan untuk mencukupkan bilangan. Ahli mesti mempunyai matlamat yang jelas dan bukan hanya kerana ia sahabat karib sahaja. Dikhuatiri jika ahli seumpama ini ada, ia akan menyebabkan kumpulan kita tidak akan mencapai matlamatnya.

3. Setiap ahli perlu menjiwai tajuk tersebut.

Apabila kita telah menyediakan ahli dengan setiap tajuk, kita mestilah juga memastikan bahawa kita bersedia dengan tajuk tersebut.Ini sangat penting kerana jika kita telah bersedia maka persoalan yang timbul hasil kemusykilan dari ahli yang lain dapat kita jelaskan.

4. Berbincang dengan guru atau orang yang lebih arif.

Sebelum melaksanakan teknik belajar secara berkumpulan ini, sila pastikan kalau-kalau ada perkara yang tidak faham tentang topik yang dipertanggungjawabkan. Oleh yang demikian berbincanglah dahulu dengan guru. Ini bertujuan untuk kita lebih mendalami tentang topik tersebut. Dengan yang demikian kita akan lebih bersedia semasa perbincangan.

5. Penumpuan semasa ahli membentang.

Penglibatana semua ahli membawa implikasi yang besar. Berikan penumpuan yang sewajarnya kepada ahli yang sedang membentang. janganlah ada dia antara kita semasa ahli sedang membentang, kita tidak memberikan perhatian. Andaikan apabila kita sedang bercakap, ada orang yang tidak memberi perhatian kepada kita. Bagaimanakah perasaan kita ketika itu? Sudah tentu kita merasai kita tidak dihargai, justeru itu berikan sepenuh-penuh penumpuan semasa rakan sedang membentang dalam kumpulan. Pengormatan dan kesediaan mendengar pembentangan ahli lain merupakan seni dalam aktiviti belajar berkumpulan ini.

6. Bersoal jawab.

Kumpulan yang dinamik dan berkembang adalah kumpulan yang wujudnya perbincangan dan soal jawab. Semakin banyak perkara yan relevan dibaincangkan semakin bertambah dinamik kumpulan itu. Ahli kumpulan bukan sahaja mendengat kumpulan lain membentang semata-mata , tetapi sentiasa bersoal jawab atas perkara yang menimbulkan ketidak fahaman. ini sebenarnya membuka minda kita agar lebih memberikan penelitian atas isu dan tajuk yang dibincangkan. Ini menjadikan kita individu yang kritikal dan analitikal dalam membincangkan tajuk tersebut. Minda yang kritikal dan analitikal merupakan minda yang cemerlang. Galakkan diri bertanya hal-hal yang berkaitan yang tidak difahami atau bercanggah dengan pemahaman kita.

7. Agihkan bahan

Di dalam belajar berkumpulan lantik seorang ketua, setiausaha dan bendahari secara bergilir-gilir, iaitu bagi mata pelajaran yang berbeza-beza mempunyai ketua yang berbeza-beza. ini adalah untuk memberikan peluang dan tanggungjawab kepada semua ahli. Maka laksanakanlah tugas seperti tugas mengagihkan bahan-bahan kepada ahli-ahli di mana dilakukan oleh setiausaha. Ketua akan menetapkan masa perjumpaan serta berbincang tentang pembahagian tajuk-tajuk.

Secara ringkasnya belajar berkumpulan banyak membantu pelajar menguasai sesuatu mata pelajaran jika dilaksanakan dengan betul.

K = Kerjasama diperlukan
U = Untuk semua ahli
M = Mesra menjadi faktor penting
P = Prihatin kepada setiap ahli
U = Ulangkaji terlebih dahulu
L = Laksanakan sebaik mungkin
A = Anggapan antara ahli mestilah positif
N = Natijah cemerlang diperolehi

Kombinasi huruf-huruf di atas diharapkan memberikan celik akal kepada kita untuk melaksanakan teknik ini sebaik mungkin.

No comments: