Home

Selamat Datang Ke Laman NurSKBM -- Sesungguhnya saat yang paling dekat antara dirimu dengan ALLAH Subhanahu wa Ta'ala, iaitu apabila engkau sedang bersujud kepadaNya. Dan saat yang paling berbahagia adalah ketika engkau ikhlas kepadaNya. Saat yang paling lapang bagimu adalah ketika engkau berzikir kepadaNya. Dan saat dimana engkau paling berharap kepadaNya adalah ketika engkau berdo'a kepadaNya
( SKBM 100 TAHUN PADA 2010)

Sunday, April 6, 2008

Nilai Sepuluh Ringgit


Seorang bapa pulang ke rumah dalam keadaan letih disambut oleh anak lelakinya yang berusia tujuh tahun di muka pintu.

“Ayah, boleh tak Amin tanya satu soalan?”

“Ya, nak tanya apa?”

“Berapa pendapatan ayah sejam?”

“Itu bukan urusan kamu. Buat apa nak sibuk tanya?”

“Amin saja nak tahu ayah. Tolonglah bagi tahu berapa ayah dapat sejam bekerja di pejabat?”

“20 ringgit sejam.”

“Oh…” kata si anak sambil tunduk menekur lantai. Kemudian memandang wajah ayahnya semula sambil bertanya, “Ayah….boleh tak Amin pinjam sepuluh ringgit daripada ayah?”

Si ayah menjadi berang dan berkata, “Oh, itu ke sebabnya kamu tanya pasal pendapatan ayah? Kamu nak buat apa sampai mintak sepuluh ringgit? Nak beli barang mainan lagi? Jangan nak membazir. Ayah kerja penat-penat bukan untuk buang duit sebarangan. Sekarang pergi balik ke bilik dan tidur, dah lewat dah ni…”

Kanak-kanak tujuh tahun itu terdiam dan perlahan-lahan melangkah kembali ke biliknya. Si ayah duduk di atas sofa dan mula memikirkan mengapa anaknya yang kecil itu memerlukan duit sebanyak itu. Kira-kira dua jam kemudian si ayah kembali tenang dan terfikir kemungkinan anaknya benar-benar memerlukan duit untuk keperluan di sekolahnya kerana anaknya tidak pernah meminta wang sebanyak itu sebelum ini. Dengan perasaan bersalah si ayah melangkah menuju bilik anaknya dan membuka pintu.
Didapati anaknya masih belum tidur. “Kalau kamu betul-betul perlu duit, nah ambillah sepuluh ringgit ini,” kata si ayah.

Kanak-kanak itu segera bangun dan tersenyum girang. “Terima kasih banyak ayah,” katanya begitu gembira. Kemudian dia tercari-cari sesuatu di bawah bantalnya dan mengeluarkan sekeping not sepuluh ringgit yang sudah renyuk.

Bila ternampak duit itu si ayah kembali berang. “Kenapa kamu mintak duit lagi sedangkan kamu dah ada duit sebanyak itu? Dari mana kamu dapat duit di bawah bantal tu?” Jerkah si ayah.

Si anak tunduk tidak berani merenung wajah ayahnya. “Duit ini Amin kumpul dari belanja sekolah yang ayah beri setiap hari. Amin minta lagi 10 ringgit sebab duit yang Amin ada sekarang tak cukup,” jawab si anak perlahan.

“Tak cukup untuk beli apa?” soal balik si ayah.

“Ayah, sekarang Amin sudah ada 20 ringgit. Ayah ambil duit ni. Amin nak beli sejam dari masa ayah. Amin nak makan malam bersama ayah,” jawab si anak tanpa berani memandang wajah ayahnya.

Baru si ayah benar-benar faham maksud anaknya itu….

Moral:
Kadangkala kita terlampau sibuk sehingga mengabaikan insan tersayang yang dahagakan kasih sayang dan perhatian kita. Oleh itu, luangkan sedikit waktu untuk bersama mereka…

Tuesday, April 1, 2008

Sukarnya Menjadi Genius


"mhean9.jpgSemasa kecil, emak beberapa kali mengingatkan saya tentang seorang kanak-kanak genius yang sudah mampu membaca surat khabar di usia tiga tahun. Mohd. Shukri Hadafi, nama diberi.

Kanak-kanak istimewa ini kemudiannya diambil berlakon oleh Jins Shamsuddin di dalam filemnya Menanti Hari Esok (1976/7) dan filem itu sentiasa menjadi titik yang mengingatkan saya kepada adanya seorang kanak-kanak pintar di usia yang hampir sama dengan saya, sebagai inspirasi untuk berjaya.

Tetapi Mohd. Shukri Hadafi hilang ditelan masa. Seolah-oleh tiada esok baginya (tajuk filem lain oleh Jins Shamsuddin pada 1979) dan tiba-tiba kita dikejutkan dengan berita pada akhir 90′an bahawa beliau bekerja sebagai penebar roti canai! Ada cerita yang memberitahu beliau menjual kelapa di Padang Terap, malah yang tidak enaknya ialah kisah beliau menjadi penagih dadah.

Anak angkat Prof. Diraja Ungku Aziz ini terbuang dari kelebihan yang pernah menjadikannya begitu terkenal di seluruh negara. Di mana silapnya?

ADI PUTRA

Ingatan kita kepada kanak-kanak pintar seperti Mohd. Shukri Hadafi kembali menghiasi muka depan akhbar Malaysia, apabila Adi Putra Abdul Ghani muncul dengan kelebihan luar biasanya di dalam Matematik.

Keupayaannya yang mengatasi tahap pelajar universiti di bidang itu, sejak awal-awal lagi telah mengheret Adi Putra ke pelbagai konflik. Dari sekolahnya di Sekolah Kebangsaan Matang Buluh, Bagan Serai, perjalanan penuh liku untuk mencari program yang sesuai dengan beliau berterusan ke International Islamic School di Gombak. UNISEL juga tidak pasti dengan perjalanan beliau, dan saya berdoa agar kelebihan yang ada pada adik Adi, tidak menjadi ’sumpah’ ke atasnya sebagaimana Mohd. Shukri Hadafi 3 dekad yang lalu.

svchan_wideweb__470×3160.jpg
It figures: after completing year 12 subjects at 10, mathematician Yao-ban Chan has now become Melbourne University’s youngest-ever PhD graduate. Photo: Craig Abraham

Bertuahnya Chan Yao-ban, seorang lagi anak kecil istimewa kelahiran Malaysia. Beliau yang kini menjadi pemegang PhD termuda dari Universiti Melbourne. Di usia 21 tahun, Chan Yao-ban telah menjadi salah seorang tenaga pengkaji penting di Universiti Melbourne, mengendalikan projek kajian metod statistik bagi mengenalpasti anomaliti protein di dalam otak untuk mendiagnos schizophrenia dan bipolar disorder.

Biar pun lahir di Malaysia, Chan Yao-ban telah dibesarkan di New Zealand. Beliau melalui proses home schooling oleh ibunya, seorang Mikrobiologist dan ayahnya, pengarah di sebuah syarikat industri makanan terkemuka, Heinz.

Chan Yao-ban telah bertemu dengan ‘perjuangan’ yang bakal memanfaatkan kelebihannya.

Apakah seseorang itu perlu ‘melarikan diri’ dari Malaysia, demi mencari program yang boleh menyokong kanak-kanak genius seperti Chan Yao-ban , Adi Putra dan Mohd. Shukri Hadafi? Mengapa kita masih tidak tentu arah dalam menentukan jalan yang betul untuk Adi Putra? Tidakkah kita belajar sesuatu daripada apa yang berlaku ke atas Mohd. Shukri Hadafi, juga tercabar oleh kejayaan Chan Yao-ban ?

SUFIAH YUSOF

_820888_family300.jpg

Soalan ini menjadi lebih meruncing dengan kegemparan kita terhadap seorang lagi anak Malaysia yang genius, Sufiah Yusof.

Beribukan Halimahton dari Muar dan bapanya, Yusuf, berasal dari Pakistan, Sufiah Yusuf mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila beliau diterima masuk ke pengajian di Universiti Oxford pada usia 13 tahun. Namun pada usia 15 tahun, Sufiah telah menghilangkan diri dari kampus hingga kemudiannya ditemui di Bournemouth, bekerja di sebuah hotel di sana.

Enggan pulang kepada keluarga, yang disifatkannya seperti hidup dalam neraka, Sufiah diletakkan di bawah jagaan sebuah pertubuhan sosial untuk kembali penyambung pengajian sarjananya di Oxford. Hidup Sufiah terus dilambung ombak, apabila perkahwinannya pada usia 19 tahun dengan Jonathan Marshall, runtuh hanya kira-kira setahun selepas diijabkabulkan.


Hari Perkahwinan Sufiah bersama Jonathan Marshall [[1] foto: Daily Mail]

Beberapa bulan yang lalu, ingatan kita kepada Sufiah Yusuf dikejutkan dengan berita buruk apabila bapanya ditangkap atas dakwaan mencabuli dua kanak-kanak berusia 15 tahun yang mengikuti kelas tusyen accelerated learing kendaliannya.

Dan segala-galanya mencapai kemuncak, apabila wartawan akhbar News of the World (NOTW), berjaya mengesan Sufiah Yusuf, yang terhumban ke lembah hitam dengan nama samarannya Shilpa Lee, sebagai pelacur di Manchester dengan bayaran £130!

Sufiah Yusuf yang begitu sopan, tertib dan berada di dalam segala kurniaan ketika di awal usianya di St. Hilda’s College yang berprestij itu, menempuh kehidupan yang tidak menentu hingga berakhir dengan sesuatu yang tidak terbayangkan fikiran kita mengenainya. Seorang lagi kanak-kanak genius (muslim? melayu?) menjadi ‘mangsa’.

Apakah semua ini?

JOHN NASH

225px-john_f_nash_20061102_3.jpg

Masih ingatkah kita kepada [2] John Forbes Nash? Penerima anugerah Nobel bagi kehebatan Matematiknya di Universiti Princeton ini, menempuh dekad-dekad yang penuh liku akibat masalah schizophrenia yang mengongkong kehidupannya. Ia adalah suatu contoh yang amat besar tentang perlunya suatu pendekatan di luar kotak, untuk menampung kegeniusan seorang seperti John Forbes Nash ini. Anda boleh mendalami kisah mengenai Nash dengan menonton filem favourite saya, A Beautiful Mind.

200px-abeautifulmindposter.jpg

Pencapaian IQ yang luar biasa sememangnya lazim terkait dengan ketidak sihatan mental. Hal ini diperkatakan oleh Daniel Martin di dalam [3] artikelnya yang tersiar di Daily Mail bertarikh 11 Februari 2007.

Katanya,

More than half a million people in the UK are believed to suffer from a form of the condition, which causes disordered ideas, beliefs and experiences. The most common ages for it to develop are 15-25 in men and 25-35 in women.

Kerana itu, saya sering khuatir dengan anak-anak muda yang memiliki idea yang hebat, tetapi memiliki ketidak seimbangan sikap yang sesuai dengan kehebatan itu. Teringat saya kepada sebuah ceramah berkaitan masalah ini yang disampaikan di HUKM tidak lama dulu. Penceramah itu memberitahu bahawa statistik menunjukkan, di mana-mana sahaja bilik atau dewan tempat manusia berkumpul, maka 1/4 daripadanya mempunyai masalah berkaitan mental!

n_03chiang.jpg

Saya masih ingat kepada seorang lagi kanak-kanak genius, Chiang Ti Ming, yang telah menempuh episod hidup yang luar biasa. Menjadi pelajar termuda di California Institute of Technology (CalTech) lebih dua dekad yang lalu, Chiang Ti Ming telah meninggal dunia pada awal Januari 2007 di Seremban, selepas khabarnya mengalami tekanan perasaan yang amat teruk hingga dimasukkan ke HKL pada tahun 2002.

PENGAJARAN

Semua ini harus menjadi pengajaran buat kita.

Pengajaran buat kerajaan untuk memikirkan tanggungjawabnya terhadap pendidikan. Atau mungkinkah segala ini membuktikan bahawa kerajaan sepatutnya tidak campur tangan dalam soal pendidikan sebagaimana yang terakam dalam sejarah tamadun Islam yang panjang itu?

Sejarah Islam merakam ramai tokoh yang genius di zaman kanak-kanaknya. Figura seperti al-Syafie, al-Ghazzali, al-Nawawi, malah tokoh lewat era Moden seperti Muhammad Abduh dan Badi’ al-Zaman Said al-Nursi, telah mempamerkan ketokohan mereka semenjak di usia kecil.

Apakah rahsia mereka?

Saya fikir, persoalan ini memerlukan kepada kajian yang mendalam. Namun, sepintas lalu kita akan dapat melihat bahawa tokoh-tokoh ini mendapat pendidikan awal mereka dari sentuhan ibu bapa. Proses pendidikan juga tidak berlaku di sekolah-sekolah rasmi milik pemerintah, sebaliknya setiap mereka dibesarkan dengan model pendidikan yang tersendiri lagi khusus. Malah di era Moden, tokoh seperti al-Tahtawi dan Muhammad Abduh berdepan dengan krisis diri semasa bersekolah di sekolah kerajaan, sehinggalah mereka melarikan diri dan mencari model sendiri yang lebih responsif kepada keperluan mereka dan keperluan semasa.

BUAT PENDAKWAH

b0111.jpg

Pengajaran juga buat para pandakwah. Bahawa usaha memahami masalah manusia bukannya seperti kelakuan pembaris yang hanya tahu melukis lurus.

Rayau-rayau saya di laman sesawang, menemukan saya dengan komen-komen mudah ramai pihak yang secara simplistik menyalahkan Sufiah dengan alasan genius beliau hanya pada IQ tetapi lemah spiritual. Tentu sahaja saya tidak menolak [4] peranan spiritual dan hubungkaitnya dengan depression. Tetapi menyarankan secara mudah bahawa agama sebagai penyelesaian, harus lebih diperincikan lagi.

Perlu diingat bahawa antara simptom masalah mental berkaitan depression lazim terkait pula dengan obsesi seseorang kepada agama!

Malah mungkin sisi ini diperlukan untuk kita menilai semula beberapa perlakuan ganjil genius Muslim di dalam sejarah untuk menjustifikasikan perihal yang berlaku ke atas mereka.

Apabila kegagalan hidup berlaku ke atas sesetengah manusia, apatah lagi insan genius seperti Mohd. Shukri Hadafi, Sufiah Yusof malah John Nash dan Chiang Ti Ming, jangan terlalu dangkal memberikan alasan ‘lemah didikan agama’ atau ‘hidup tidak mengikut sunnah’.

Sesungguhnya agama mengajar manusia untuk lebih bertadabbur dan bertafakkur tentang peranannya sebagai khalifah, pentadbir alam, bahawa manusia itu sangat seni kehidupannya. Ketelitian dalam mencari jalan mengacu dan membentuk manusia, adalah syarat survival ummah. Keperluan melihat aspek psikologi manusia, harus diterima sebagai sebahagian daripada tuntutan agama itu sendiri.

adiputra.jpg

Saya mengangkat tangan memohon doa untuk masa depan yang lebih baik untuk adik Adi Putra yang sedang menyusuri jalan yang penuh liku itu.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Teknik Belajar Berkumpulan

Antara teknik belajar yang begitu popular di kalangan pelajar serta mahasiswa adalah secara berkumpulan. Apabila ditanya kepada kita, apakah kita tahu tentang teknik belajar secara kumpulan. Ramai antara kita yang akan mengatakan mereka tahu tentang apakah yang dimaksudkan dengan belajar berkumpulan, tetapi sejauh manakah pengetahuan serta pemahaman kita dalam aspek ini. Apabila ditanya tentang belajar berkumpulan ini, ramai mengatakan bahawa ia hanya sekadar dilaksanakan bersama kawan-kawan. Belajar berkumpulan harus dihalusi dan diteliti. Ini kerana ada segelintir yang mengatakan bahawa belajar berkumpulan hanya membuang masa sahaja. Apabila keluar dari sesi belajar secara berkumpulan, tidak banyak manfaat yang diperolehi. Ini merupakan tanggapan yang salah.

Menurut Mohd Yusof Othman (1998), menyatakan satu kaedah yang boleh dilakukan dalam usaha untuk meningkat dan menjana ilmu adalah belajar secara kumpulan. Belajar secara berkumpulan boleh dalam bentuk yang formal seperti membentuk dalam kumpulan tertentu (study circle) dengan matlamat yang sama, atau kumpulan yang tidak formal dana mempunyai ahli-ahli yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang yang berbeza.

Belajar secara berkumpulan sebenarnya lebih berkesan berbanding dengan belajar bersendirian. Ini kerana dalam belajar secara berkumpulan, idea atau pemikiran dapat dikongsi bersama. Misalnya ada sebahagian ahli yang membaca buku yang berbeza daripada kita, pandangan daripada buku tersebut dapat diperolehi dengan segera. Begitu juga dengan pengalaman yang berbeza yang dialami oleh setiap ahli kumpulan. namun demikian, belajar berkumpulan memerlukana adab dan disiplin diri yang tinggi. Misalnya perlu mengemukakan pandangan secara teratur, bersedia untuk berbeza pendapat, menggunakan kumpulan sebagai wadah untuk "sumbang saran" atau menyemarakkan idea. Perkara lain yang juga perlu diberi perhatian dalam usaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan adalah kesanggupan untuk berfikir secara aktif. Yakni kesanggupan untuk berhujah dalam minda dengan melakukan analisis dan hipotesis secara kritis dengan penuh adab dan akhlak disamping menyakini wibawa diri orang yang menyampaikan maklumat. Dengan semikian, pemikir yang baik bukanlah pemikir yang stereotype yang tidak boleh menghormati kaedah bagaimana orang yang tidak sealiran dengannya berfikir.

Sebagai contoh katakanlah seorang pelajar yang bijak menyenaraikan isi-isi penting dalam topik "Gejala sosial di kalangan remaja". Pelajar ini mendapat 10 isi. Kemudian tajuk ini diberikan juga kepada kumpulan (5 hingga 7 orang) pelajar. Mereka ini dapat menyenaraikan sekurang-kurangnya 15 isi penting.

Secara luarannya dapat dilihat bahawa kumpulan dapat memberikan sumbangan yang besar jika dibandingkan dengan seorang. Namun yang menjadi dilemanya adalah kaedah yang tersusun, sistematik dan sempurna. Di sini dipaparkan kaedah yang betul tentang belajar berkumpulan.

Peranan Belajar Berkumpulan

1. Agihkan setiap ahli dengan satu tajuk.

Setiap ahli perlu diberi tanggungjawab. Jika kita menjadi ahli dalam kumpulan tersebut, kita mesti mempunyai satu tanggungjawab yang mesti dipegang. Ini membolehkan kita mengambil berat dan merasakan bahawa kita mempunyai peranan di dalam kumpulan.

2. Ahli mesti sehaluan.

Ahli yang dipilih dalam kumpulan mesti mempunyai matlamat yang sama iaitu cemerlang dalam pelajaran. Kita tidak mahu ahli yang ada di dalam kumpulan untuk mencukupkan bilangan. Ahli mesti mempunyai matlamat yang jelas dan bukan hanya kerana ia sahabat karib sahaja. Dikhuatiri jika ahli seumpama ini ada, ia akan menyebabkan kumpulan kita tidak akan mencapai matlamatnya.

3. Setiap ahli perlu menjiwai tajuk tersebut.

Apabila kita telah menyediakan ahli dengan setiap tajuk, kita mestilah juga memastikan bahawa kita bersedia dengan tajuk tersebut.Ini sangat penting kerana jika kita telah bersedia maka persoalan yang timbul hasil kemusykilan dari ahli yang lain dapat kita jelaskan.

4. Berbincang dengan guru atau orang yang lebih arif.

Sebelum melaksanakan teknik belajar secara berkumpulan ini, sila pastikan kalau-kalau ada perkara yang tidak faham tentang topik yang dipertanggungjawabkan. Oleh yang demikian berbincanglah dahulu dengan guru. Ini bertujuan untuk kita lebih mendalami tentang topik tersebut. Dengan yang demikian kita akan lebih bersedia semasa perbincangan.

5. Penumpuan semasa ahli membentang.

Penglibatana semua ahli membawa implikasi yang besar. Berikan penumpuan yang sewajarnya kepada ahli yang sedang membentang. janganlah ada dia antara kita semasa ahli sedang membentang, kita tidak memberikan perhatian. Andaikan apabila kita sedang bercakap, ada orang yang tidak memberi perhatian kepada kita. Bagaimanakah perasaan kita ketika itu? Sudah tentu kita merasai kita tidak dihargai, justeru itu berikan sepenuh-penuh penumpuan semasa rakan sedang membentang dalam kumpulan. Pengormatan dan kesediaan mendengar pembentangan ahli lain merupakan seni dalam aktiviti belajar berkumpulan ini.

6. Bersoal jawab.

Kumpulan yang dinamik dan berkembang adalah kumpulan yang wujudnya perbincangan dan soal jawab. Semakin banyak perkara yan relevan dibaincangkan semakin bertambah dinamik kumpulan itu. Ahli kumpulan bukan sahaja mendengat kumpulan lain membentang semata-mata , tetapi sentiasa bersoal jawab atas perkara yang menimbulkan ketidak fahaman. ini sebenarnya membuka minda kita agar lebih memberikan penelitian atas isu dan tajuk yang dibincangkan. Ini menjadikan kita individu yang kritikal dan analitikal dalam membincangkan tajuk tersebut. Minda yang kritikal dan analitikal merupakan minda yang cemerlang. Galakkan diri bertanya hal-hal yang berkaitan yang tidak difahami atau bercanggah dengan pemahaman kita.

7. Agihkan bahan

Di dalam belajar berkumpulan lantik seorang ketua, setiausaha dan bendahari secara bergilir-gilir, iaitu bagi mata pelajaran yang berbeza-beza mempunyai ketua yang berbeza-beza. ini adalah untuk memberikan peluang dan tanggungjawab kepada semua ahli. Maka laksanakanlah tugas seperti tugas mengagihkan bahan-bahan kepada ahli-ahli di mana dilakukan oleh setiausaha. Ketua akan menetapkan masa perjumpaan serta berbincang tentang pembahagian tajuk-tajuk.

Secara ringkasnya belajar berkumpulan banyak membantu pelajar menguasai sesuatu mata pelajaran jika dilaksanakan dengan betul.

K = Kerjasama diperlukan
U = Untuk semua ahli
M = Mesra menjadi faktor penting
P = Prihatin kepada setiap ahli
U = Ulangkaji terlebih dahulu
L = Laksanakan sebaik mungkin
A = Anggapan antara ahli mestilah positif
N = Natijah cemerlang diperolehi

Kombinasi huruf-huruf di atas diharapkan memberikan celik akal kepada kita untuk melaksanakan teknik ini sebaik mungkin.

Pelajar Mengantuk Apabila Belajar


Masalah yang dihadapi oleh anda iaitu mengantuk serta menguap sebaik-baik sahaja
memulakan pembelajaran atau mengulang kaji pelajaran khususnya membaca nota sememangnya sering kali dihadapi oleh kebanyakan pelajar.
Kalaulah saya bertanyakan kepada para pelajar apakah pandangan mereka, mengenai pelajaran, saya pasti ramai yang akan memberi maklum balas yang negatif.
Perkataan seperti malas, tidak ada mood, boring akan terkeluar daripada bibir mereka. Jika ada jawapan yang agak positif, hanyalah tidak mahu menghampakan harapan ibubapa atau diterima oleh individu tertentu.
Pelajar berasa bosan dengan pelajaran kerana dikelilingi dengan buku pelajaran dan kerja sekolah sejak berumur tujuh tahun lagi. Alam persekolahan yang berorientasikan peperiksaan akan meninggalkan kesan negatif. Sebagai seorang pelajar, pelajaran tetap penting untuk ke mercu kejayaan di masa hadapan.

Perasaan jemu, bosan, malas serta sikap sambil lewa terhadap pelajaran bermula dengan minda yang negatif. Apa yang perlu dilakukan ialah :-

1. Bina sikap yang positif.
Kejayaan seseorang sebenarnya 90% ditentukan oleh sikapnya dan hanya 10% sahaja ditentukan oleh pengetahuan sedia ada. Sekiranya anda membaca terlalu lama tetapi tidak menumpukan perhatian, maka anda hanya membuang masa. Jadi perbaikilah diri supaya menjadi lebih bersungguh-sungguh dan bersikap positif.

2. Persediaan minda.
Sikap negatif adalah daripada minda yang negatif. Oleh itu minda perlu diubah menjadi positif. Gunakan satu kaedah yang dinamakan Saranan Kendiri iaitu pembentukan kata-kata positif seperti berikut:-
Saya mesti berusaha dan menjadi pelajar cemerlang. Belajar adalah penting untuk masa hadapan. Orang lain boleh berjaya, saya yakin saya juga boleh berjaya.

3. Persediaan perasaan.
Fikiran dan perasaan yang positif, memudahkan lagi anda memberi tumpuan kepada pelajaran. Anda akan berasa selesa kerana perasaan tidak diganggu dengan kata-kata negatif.

4. Persekitaran yang sesuai.
Apabila ingin belajar, anda perlu mencari tempat yang sesuai tanpa sebarang gangguan. Mental dan emosi yang terganggu akan menjejaskan tumpuan fikiran.

5. Ketepikan seketika masalah sampingan.
Sekiranya anda menghadapi masalah lain seperti perselisihan dengan rakan, masalah kewangan dan sebagainya, anda perlu berkongsi atau meluahkan masalah anda kepada ibu bapa. Ini boleh mengurangkan tekanan lantas memberi laluan untuk anda menumpukan perhatian kepada pelajaran. Jika tidak berjaya, lawanlah fikiran dengan mengenepikan seketika masalah tadi. Percayalah setiap kejayaan akan diperolehi atas dasar usaha walaupun dalam keperitan tapi penuh kesabaran.

IQ dan EQ


IQ dan EQ (Mengenal Hati Dan Perasaan)

"And minds without emotions are not really minds at all. They are souls on ice-cold, lifeless creatures devoid of any desires, sorrows, pains or pleasure".
LeDoux 1996

Prof. Daniel Goleman (Uni.Harvard) dalam bukunya Emotional Intelligence, "IQ yang tinggi
belum tentu menjamin kejayaan jika dibandingkan dengan EQ".
IQ menyumbang 20% dan EQ 80% dalam kejayaan !

"Jika seseorang memiliki IQ yang tinggi, ditambah dengan EQ yang tinggi pula, orang tersebut
akan lebih mampu menguasai keadaan, dan merebut setiap peluang yang ada tanpa membuat
masalah yang baru"
STEQ

Thomas Stanley membuat tinjauan kepada 733 "multi-millionaires" di seluruh Amerika Syarikat. Mereka diminta membuat rating terhadap 30 faktor yang menyumbang kejayaan mereka.
5 faktor teratas ialah:

Jujur dengan semua orang.
Mempunyai disiplin yang baik.
Bersama-sama dengan orang lain.
Mempunyai pasangan yang menyokong.
Bekerja lebih kuat daripada orang lain.

IQ menduduki tempat ke 21 dan hanya dipersetujui oleh 20% sampel sahaja.

EQ

"The ability to perceive emotions, to access and generate emotions so to assist thought, to understand emotions and emotion knowledge, and to reflectively regulate emotions so as to promote emotional and intellectual growth"
Mayer and Salovey

35 Petua Pelajar Cemerlang dari Dr Fadzilah Kamsah

Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:
  1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
  2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
    1. kita ingat 10 % apayang dibaca
    2. kita ingat 20% apa yang didengar
    3. kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
    4. kita ingat 70% apa yang dicakapkan
    5. kita ingat 90% setelah dipraktikkan
  3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
  4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).
  5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
    1. pastikan cahaya adalah terang
    2. kurangkan gangguan bunyi
    3. tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
    4. tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
    5. kerusi dan meja menghadap kiblat
    6. jangan lupa untuk senyum
  6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
  7. Mengulang kaji menggunakan kaedah 'output learning' iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
  8. Tahu teknik merangsang memori:
    1. memasukkan maklumat dalam memori (registration)
    2. menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
    3. mengingat kembali (recall)
    4. menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
  9. Sentiasa awal dan mendahului:
    1. persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
    2. pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
    3. belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
    4. untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
  10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
  11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
    1. duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
    2. memberikan tumpuan sepanuhnya
    3. menggunakan jari telunjuk untuk membaca
    4. menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
  12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
  13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
  14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
  15. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
  16. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
  17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
  18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
  19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
  20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
  21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
  22. Tahu petua mengulang kaji
    1. cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
    2. siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
    3. duduk tegak dikerusi yang selesa
    4. baca doa penerang hati
    5. baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
    6. fikir dan ingat kembali isi utama
    7. catat/lakar
    8. semak semula ketepatan maklumat
    9. ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
    10. buat rumusan
    11. jawab soalan
    12. tampal maklumat yang rumit di dinding
    13. baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
  23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
  24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
    1. jangan makan kepala ikan
    2. jangan makan organ dalaman
    3. jangan minum semasa makan
    4. jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
    5. jangan melihat kemaluan
    6. jangan melihat buih
    7. jangan membaca nama pada batu nisan
    8. banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
    9. banyakkan makan kismis, kurma dan madu
    10. banyakkan makan kekacang
    11. pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
    12. jangan makan sehingga terlalu kenyang
    13. jangan kencing berdiri
  25. Tahu kemahiran mengingat:
    1. tampal nota-nota penting di dinding
    2. tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
    3. gunakan kaedah akronim
    4. reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
    5. pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
  26. Cekap mengatur jadual belajar:
    1. mempunyai jadual belajar
    2. patuh kepada jadual
    3. buat jadual yang boleh diikuti
  27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
  28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
  29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
  30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
  31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
  32. Pelbagaikan tempat belajar.
  33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
  34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
  35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
    1. taat kepada Allah
    2. mendirikan sembahyang
    3. menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
    4. hormati & sayangi guru
    5. bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
    6. suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
    7. membantu rakan yang memerlukan
    8. berdoa dan bersyukur kepada Allah
    9. sentiasa bertawakal
    10. mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat. :)