LUKMAN al-Hakim seorang lelaki berkulit hitam yang bertakwa kepada Allah. Mengikut Imam Said bin Musayyib, beliau seorang berasal dari Sudan.
Pada suatu masa, seorang lelaki berkulit hitam datang menemui Imam Said bin Musayyib. Beliau berkata kepada lelaki itu: “Janganlah kamu bersedih hati kerana kulitmu yang hitam. Sebenarnya antara manusia yang terbaik (di sisi Allah) adalah mereka yang berkulit hitam iaitu Bilal, Mahjak dan Lukman al-Hakim.”
Mengikut Ibn Jarir pula, berpandukan riwayat daripada Khalid ar-Raj’ii, Lukman adalah seorang hamba dari Habsyah yang bekerja sebagai seorang tukang kayu.
Pada suatu hari, tuan Lukman menyuruh beliau menyembelih seekor kambing dan membawa kepadanya dua ketul daging yang terbaik. Perintah itu dilaksanakan Lukman dan dibawa kepada tuannya dua ketul daging yang terbaik iaitu hati dan lidah.
Keesokannya, tuannya menyuruh beliau menyembelih seekor kambing lain dan membawa kepadanya dua ketul daging yang terburuk. Perintah itu juga dilaksanakan oleh Lukman dan dibawa kepadanya dua ketul daging terburuk iaitu hati dan lidah.
Tuannya pelik dan bertanya kepada Lukman maksud perbuatannya itu. Lukman berkata: “Sesungguhnya, bagi orang mulia, inilah alat terbaik yang dimilikinya dan bagi mereka yang keji, inilah alat terkeji yang ada dalam dirinya’.” Begitulah contoh kebijaksanaan Lukman.
Begitulah sifat seorang yang amanah. Bagaimanakah Lukman dapat mencapai makam yang mulia ini? Mengikut Ibn Jarir daripada Amru bin Qais, seorang lelaki pernah menyoal Lukman mengenainya.
Lukman menjawab: “Itu adalah kehendak Allah. Aku sentiasa menunaikan amanah, aku juga sentiasa bercakap benar dan aku menjauhi setiap perkara yang tidak mendatankan faedah bagiku.”
Mengenai perkara sama, dalam sebuah hadis pada suatu hari seorang lelaki berjumpa Rasulullah kerana hendak memeluk Islam.
Selepas mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata: "Ya Rasulullah. Sebenarnya hamba ini selalu saja berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya." Maka Rasulullah menjawab: "Mahukah engkau berjanji bahawa engkau sanggup meninggalkan cakap bohong?"
"Ya, saya berjanji" jawab lelaki itu. Selepas itu, dia pun pulang ke rumahnya.
Dalam perjalanan pulang, lelaki itu berkata dalam hatinya: "Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu." Maka, setiap kali hatinya terdorong untuk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek.
Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan Rasulullah dan setiap kali hatinya berkata: "Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya.
Setelah dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya dalam perjuangannya menentang kehendak nalurinya.
Menurut hadis itu lagi, sejak dari hari itu bermula babak baru dalam hidupnya. Dia berhijrah daripada kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh Rasulullah. Hingga ke akhirnya dia berubah menjadi mukmin yang soleh dan mulia.