Monday, December 10, 2007
PENGORBANAN TERAGUNG
Nabi Ibrahim a.s. sepanjang usianya kira-kira 175 tahun, telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. dengan dua orang anak lelaki. Pertama Nabi Ismail dan kedua Nabi Ishak. Nabi Ismail adalah hasil perkongsian hidup Nabi Ibrahim dengan Siti Hajar, isteri kedua. Sementara Nabi Ishak dari isteri pertama, Siti Sarah. Namun demikian Siti Sarah pada mulanya isteri yang mandul tetapi dengan kehendak Allah dipenghujung usianya ia melahirkan Nabi Ishak iaitu adik sebapa kepada Nabi Ismail.
Dalam usia sekitar 86 tahun, Nabi Ibrahim baru dikurniakan seorang anak yang sekian lama diidamidamkannya. Anak itu ialah Nabi Ismail yang disifatkan oleh Allah sebagai seorang anak yang sabar. Tetapi sebaik sahaja Nabi Ismail mencapai usia remaja tiba-tiba Nabi Ibrahim bermimpi menyembelih jantung hatinya itu. Mimpi itu merupakan isyarat kepada perintah Allah. Perintah itu, suatu perintah yang amat sukar. Ia bukannya suatu perintah supaya beliau mengirimkan anak lelaki tunggal ke medan perang. Tetapi perintah itu supaya dia menamatkan riwayat anaknya dengan tangannya sendiri. Nabi Ibrahim a.s. tetap menjunjung perintah itu dengan penuh ketaatan. Demikian anaknya Nabi Ismail.
Firman Allah dalam surah As-Shaffatالصافات) ) ayat:102-107 maksudnya:
(102) - Maka tatkala anak itu sampai ( kepada peringkat umur yang membolehkan dia ) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu!”Anaknya menjawab:“Wahai bapaku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.
Mengikut ayat ini Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail masing-masing menyerahkan diri bulat-bulat kepada Allah. Penyerahan diri kepada Allah, seperti inilah yang terkandung dalam maksud pengertian Islam.
Iaitu percaya, taat, patuh, tenang, redha, dan bertindak melaksanakan perintah Allah s.w.t. Inilah nilai, sikap, perasaan yang dihayati di dalam hati mereka berdua yang tidak tumbuh dan lahir melainkan oleh keimanan yang agung. Kemudian ayat-ayat berikutnya menggambarkan kesungguhan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam menunaikan arahan Allah:
(103) - Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim-dengan kesungguhan azamnya itu- telah menjalankan perintah Kami), (104) - serta Kami menyerunya:“Wahai Ibrahim! (105) - “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu!” – demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (106) - Sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata; (107) - dan Kami telah tebuskan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”.
Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah menunaikan kewajipan
masing-masing. Kedua-duanya telah melaksanakan perintah dan tugas mereka. Ujian Allah telah sempurna, dan tujuannya telah terlaksana. Cuma yang tinggal lagi ialah menyembelih Ismail.
Tetapi Allah s.w.t. tidak mahu mengazabkan hamba-hambaNya dengan ujian itu. Allah tidak berkehendak apa-apa pun dari darah dan jasad mereka. Apabila mereka telah memberi keikhlasan kepada Allah dan bersedia untuk melaksanakan perintah-Nya bererti mereka telah menunaikan kewajipan mereka dan telah melalui ujian itu dengan jayanya. Oleh itu Allah telah menebuskan jiwa Nabi Ismail dengan seekor kibas untuk disembelih sebagai ganti.
Inilah suatu peristiwa luhur yang melambangkan kemuncak hakikat keimanan,
kecemerlangan, kepatuhan dan keagungan penyerahan diri kepada Allah. Ia merupakan satu peristiwa contoh yang dapat dirujuk oleh kaum Muslimin dalam menilai dan mengenali erti sebuah pengorbanan yang agung. Dengan peristiwa ini berlangsunglah tradisi murni dan galakan berqurban pada Hari Aidiladha hingga ke hari ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment