APAKAH perbezaan menjawab salam dengan Waalaikumsalam dan Alaikumsalam. Bagaimanakah cara menjawab salam yang sebenar?
Jawapan:
Perbezaannya dari sudut bahasa. Kalau dijawab salam yang diucapkan kepada kita dengan lafaz assalamulaikum warahmatullahi wa barakatuhu hendaklah dijawab dengan wa alaikumussalam. Huruf wau yang membawa bunyi wa dalam ucapan balas salam membawa maksud dan kesinambungan ucapan salam. Ini kerana ucapan salam adalah ungkapan doa kita kepada sesama orang Islam. Sekiranya ada orang memberi salam dengan ucapan Assalamulaikum warahmatullah… membawa maksud: “Salam sejahtera ke atas kamu…” dan di jawab dengan alaikum salam tanpa wa… akan membawa maksud ke atas kamu kesejahteraan.
Sekiranya salam itu dijawab dengan wa alaikumussalam akan membawa maksud: “Dan ke atas kamu juga kesejahteraan. Wau dalam jawab salam itu adalah bermaksud dan ke atas kamu juga (semoga kamu juga peroleh apa yang kamu minta ke atasku ). Mungkin juga ketiadaan wa dalam jawab salam dengan alasan mustatir (disembunyikan). Namun adalah lebih tepat kalau dijawab dengan wa alaikumussalam….
Dalam al-Quran, Allah SWT menyarankan agar kita menjawab salam dengan ungkapan yang lebih sempurna firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila kamu diberikan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama.)
Firman Allah: Sesungguhnya Allah menghitung tiap-tiap sesuatu. (al-Nisa’:86). Dalam mentafsirkan ayat ini Ibnu Kathir menyebut: “Tambahan dalam salam adalah sunat manakala menjawab dengan ungkapan yang sama adalah fardu.” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, jld:1,hlm:706).
Dalam memahami galakan dalam ayat ini apa yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Jarir al-Tabari dalam menjelaskan cara baginda Rasulullah SAW menjawab salam. Diriwayatkan daripada Salman al-Farisi berkata: “Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu memberi salam kepada baginda dengan ungkapan: “Assalamulaika ya Rasulullah” lantaran baginda menjawab: “Wa alaika assalam wa rahmatullah, kemudian baginda telah didatangi oleh seorang lelaki yang lain dan mengucapkan salam kepada baginda dengan ungkapan: “Assalamulaika ya Rasullah wa rahmatullah” lalu baginda menjawab salam lelaki itu dengan: “Wa alaika assalam wa rahmatullahi wa barkatuh”, kemudian lelaki lain pula datang lalu memberi salam kepada baginda dengan ucapan: “Assalamu alaika ya Rasulullah wa rahmatullahi wa barakatuh”, lalu baginda menjawab: “Dan ke atas kamu (bagi kamu seperti mana yang doakan).”
Lelaki yang terakhir kehairanan lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, demi sesungguhnya telah datang dua orang lelaki sebelum ini mereka memberi salam dan tuan telah membalasnya dengan lebih daripada apa yang diucapkan oleh kedua mereka berbanding dengan ucapan balas salam tuan kepada saya. Baginda menjawab: “Sesungguhnya engkau tidak tinggalkan untukku apa-apa”. Ini bermaksud bila seseorang beri salam kepada orang lain hendaklah memberi salam dengan: “Assalamulaikum atau Assalamulaikum wa rahmatullah,” supaya orang yang menjawab mempunyai peluang untuk jawab lebih daripada orang yang memulakan salam.
Seperkara yang jelas dalam riwayat ini ialah, sekiranya ada ungkapan yang lebih baik dan lebih panjang sudah pasti akan disebut oleh Rasulullah SAW. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, jld:1,hlm:707)
Daripada huraian ini, dapatlah disimpulkan bahawa perkara memberi dan menjawab salam itu bukanlah juga mudah, kerana atas tanggapan ia sudah menjadi perkara biasa, tetapi ia mempunyai huraian dan permasalahan yang patut difahami oleh masyarakat kita.
Islam mengajarkan umatnya supaya menanamkan dalam diri dan menjadikan budaya memberi salam sebagai salah satu cara hidup bermasyarakat. Islam menyeru umatnya agar mendoakan saudaranya dengan kesejahteraan. Oleh sebab itu, untuk memupuk amalan memberi salam, kita harus menanamkan budaya memberi salam di kalangan anak-anak kita sejak kecil lagi.
Allah SWT telah mengaturkan cara salam untuk umat Islam bagi menunjukkan bahawa agama Islam adalah agama yang penuh kedamaian, ketenteraman dan ketenangan. Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menjadikan salam itu sebagai cara penghormatan bagi umat…” (al-Baihaqi)
Dalam memberi salam ada beberapa keadaan yang dimakruhkan memberi salam yang sepatutnya diketahui umum. Walaupun penyebaran salam itu sangat dituntut, akan tetapi ada tempat dan ketikanya kita dimakruhkan mengucapkannya.
Adapun keadaan yang dimakruhkan itu antara lain ialah:
- Memberi salam kepada orang yang sedang buang air. Dalam hal ini, dimakruhkan memberi salam. Sekiranya orang seperti ini diberi salam, tidak wajib ke atasnya menjawab salam tersebut.
- Orang yang sedang tidur atau mengantuk.
- Mengucapkan salam kepada orang yang sedang azan, iqamat dan sembahyang.
- Orang yang makan sedang makanan berada dalam mulutnya. Sekiranya dia diberi salam ketika itu, maka tidak wajib ke atasnya menjawab salam itu. Akan tetapi jika dia makan tetapi tidak ada makanan dalam mulutnya, maka tidak mengapa diberi salam dan salam itu wajib dijawab.
- Ketika sedang khutbah Jumaat. Imam an-Nawawi berpendapat, makruh memberi salam kepada jemaah yang hadir, kerana mereka disuruh untuk berdiam diri mendengarkan khutbah.
- Orang yang sedang membaca al-Quran, menurut pendapat Imam Abu al-Hasan al-Wahidi, adalah lebih afdal tidak memberi salam kepadanya. Jika dia diberi salam, cukup baginya menjawab dengan isyarat. Akan tetapi jika dijawabnya dengan lisan, sambungan bacaan al-Qurannya dimulai lagi dengan Isti‘adzah.
- Makruh memberi salam kepada orang yang membaca talbiah ketika berihram, kerana memutuskan talbiah itu adalah makruh. Tetapi jika dia diberi salam, maka dijawabnya salam itu dengan lisan (bukan dengan isyarat).
- Makruh juga hukumnya jika seseorang itu memberi salam dengan mengatakan alaikassalam. Ini kerana mengikut riwayat ungkapan itu biasa ucapkan kepada jenazah.
- Makruh memberi salam dengan isyarat.
- Menentukan salam kepada seseorang atau kumpulan tertentu. Kita ditegah menentukan salam kepada seseorang yang tertentu, kerana salam bertujuan kemesraan, damai dan persaudaraan. Jika menentukan salam, ia akan menimbulkan buruk sangka serta perasaan iri hati yang membawa kepada permusuhan.
No comments:
Post a Comment